WEB BPPNT


Sumber : Warta 9

Kadar kecelakaan perlu turun - MB

Kuala Terengganu: Kerajaan berhasrat menurunkan kadar kecelakaan jalan raya sehingga 30 % menjelang tahun 2005 memandangkan ia kini meningkat ke tahap membimbangkan.

Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, mengikut statistik kemalangan jalan raya sehingga julai tahun ini, sebanyak 3,316 kes dilaporkan termasuk 141 kes kemalangan maut dengan kematian 165 orang, kecederaan parah (428 kes) dan cedera ringan (1,078 kes ).

Beliau berkata, kempen keselamatan jalanraya adalah satu kaedah yang berkesan di kalangan orang dewasa dan pelajar sekolah yang perlu diteruskan tanpa jemu bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, usaha gigih dan langkah pencegahan bersepadu dan berterusan oleh beberapa pihak sama ada agensi kerajaan dan swasta mahupun gabungan kedua-duanya sepatutnya sudah mendatangkan hasil yang memberangsangkan.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi berkata, usaha kearah mempromosikan keselamatan jalan raya dan pemanduan berhemah patut diteruskan.

Kesedaran

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Terengganu di Perkarangan ASTAKA, Kampung Tanjung di sini, 25 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan Negeri, Hai Abu Bakar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Senara Muda, beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia ( PDRM ), pegawai-pegawai kerajaan dan 200 pelajar sekolah berhampiran hadir di majlis berkenaan.

Menteri Besar berkata, kedua-dua aspek itu mempunyai kaitan langsung untuk mempastikan pemandu selamat dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Berbagai aktiviti kempen keselamatan jalan raya telah dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya keselamatan jalan raya.

Menteri Besar berkata, Pihak majlis keselamatan jalan raya sangat mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh mana-mana pihak bagi tujuan tersebut.

" Usaha ini perlu dipertingkatkan kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama," ujarnya.

Penglibatan segelintir dari kalangan orang ramai dan agensi kerajaan tidak dapat menurunkan kadar kecelakaan itu ke tahap paling rendah.

Katanya, Pendidikan keselamatan jalan raya perlu diambil perhatian dan disokong pelaksanaannya secara menyeluruh serta berterusan oleh semua pihak terutama para pelajar sekolah, sebagai sasaran utama kempen itu.

Beliau mengharapkan pelajar berkenaan sentiasa peka dengan peraturan kepenggunaan jalan raya.

"Di samping itu pihak yang terlibat secara langsung dengan penggunaan jalan raya seperti pengusaha bas sekolah, bas awam dan lain-lain harus mempunyai kesedaran untuk mengutamakan keselamatan jalan raya agar dapat menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda hari ini," katanya.


  Kembali ke Laman Utama