WEB BPPNT


Sumber : Pemuda KeADILan

LAPORAN RINGKAS SIDANG MEDIA EZAM DI KLIA

Kira-kira 200 orang penyokong Gerakan Reformasi telah menyambut kepulangan Sdr Ezam Mohd Nor daripada Bangkok kerana menghadiri persidangan antarabangsa di kota tersebut. Beliau sekaligus telah membuat satu kenyataan akhbar secara terbuka di perkarangan Balai Ketibaan berhubung dengan isu "Pengkhianat" yang dilontarkan oleh Mahathir Mohamad. Dalam ucapan beliau, beliau sekali lagi menegaskan bahawa memang benar sewaktu diluar negara beliau mendedahkan keburukan dan kepincangan Mahathir serta kezaliman yang dilakukannya. Segala apa yang didedahkan adalah fakta benar yang disokong dengan bukti-bukti yang kukuh. Sdr Ezam memaklumkan bahawa beliau telah membuat temujanji dengan Balai Polis Alor Setar pada 3 November ini jam 3.00 petang untuk sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa memang benar beliau mengkritik Mahathir di luar negara dan beliau mencabar pihak polis untuk mendakwanya seberapa segera yang boleh.

Sdr Ezam juga menjawab tuduhan "Pengkhianat" yang dilemparkan oleh Mahathir kepadanya sebagai satu tindakan yang bacul. "Jika benar saya pengkhianat, Mahathir juga adalah seorang pengkhianat dan penderhaka kerana beliau telah mengkritik Tunku Abdul Rahman di Malaysian Hall London pada tahun 1969 dan di University Monash Melbourne, Australia pada tahun 1971. Beliau juga pernah mengkritik kepimpinan Tunku dalam sebuah Majalah di Filipina. Mahathir dan Abdullah Badawi serta kuncu-kuncunya yang lain perlu bersiap sedia kerana saya akan memanggil mereka sebagai saksi utama bila saya didakwa kelak. Dari kandang orang salah saya akan dedahkan siapa sebenarnya pengkhianat dan penderhaka." jelas beliau lagi.

LOKMAN ADAM
Setiusaha Pemuda KeADILan
KLIA - 1 November 2000 - 11.00 Mlm


  Kembali ke Laman Utama