WEB BPPNT


Sumber : Malaysiakini

Kenyataan Nik Aziz tidak 'anti-wanita'

'Ein Azmi

6:45pm, SEL: Kenyataan Menteri Besar Kelantan berhubung isu "wanita punca masalah sosial" yang menimbulkan kemarahan beberapa pihak tidak bersifat antiwanita.

Ia hanya ditujukan kepada mereka yang "mengganggu sentimen dan rangsangan seks" lelaki.

"Tidak timbul kenyataan beliau bersifat anti-wanita," jelas Setiausaha Akhbar menteri besar itu, Mohd Fauzi Zakaria.

"Sebaliknya beliau hanya menjelaskan kehendak Islam yang sentiasa ingin mengawal kehormatan dan keselamatan kaum wanita. Ini kerana kes-kes jenayah seks akhirnya hanya akan ditanggung kaum wanita itu sendiri."

Mohd Fauzi berkata, dalam usaha menjaga kehormatan, Islam lebih mengutamakan langkah berjaga-jaga dengan meminta mereka agar tidak berpakaian yang mengghairahkan kaum lelaki.

Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam kuliah mingguannya pada Jumaat lalu juga cuba menerangkan sebahagian gejala sosial berpunca daripada sesetengah wanita yang mendedahkan aurat untuk menimbulkan keghairahan lelaki, jelas Mohd Fauzi lagi.

"(Menteri Besar) itu tidak merujuk semua wanita. Dengan itu, tidak berbangkit soal menarik kenyataan kerana ia (kenyataan itu) adalah benar," tambahnya, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini petang ini.

Semalam, malaysiakini melaporkan Wanita DAP menggesa Nik Aziz menarik semula kenyataan itu yang dianggap menghina wanita.

"Kenyataan seperti itu menunjukkan sikap anti-wanita dan menyebabkan kemarahan wanita yang melihat ia (pendapat itu) sebagai usaha membenarkan tindakan jenayah dan tidak mengikut undang-undang kaum lelaki terhadap wanita," kata Naib Ketua pergerakan itu, Betty Chew. [Ally wants PAS leader to withdraw derogatory words, Oct 9]

Terpengaruh reaksi Umno

Mohd Fauzi menjelaskan Menteri Besar itu tidak mempunyai sebarang prasangka terhadap pandangan Wanita DAP.

"Mungkin beliau (Betty) membuat kenyataan itu akibat terpengaruh dengan reaksi-reaksi daripada pemimpin Umno," katanya.

Menurutnya lagi, menteri besar itu juga tidak menyokong lelaki yang terlibat dengan gangguan seks terhadap wanita, seperti yang pernah dialami oleh beberapa anggota Dewan Rakyat DAP beberapa bulan lepas.


  Kembali ke Laman Utama