Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Nik Aziz : Bukan Islam terima PAS di Kelantan

KOTA BAHARU, 21 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata persepsi masyarakat bukan Islam di Kelantan kian berubah dan mereka semakin menerima kepimpinan Pas.

Katanya sikap terbuka masyarakat bukan Islam termasuk Cina dan pemimpin DAP berlaku kerana mereka menyedari perjuangan Pas bukan berdasarkan sesuatu kaum malahan meliputi semua pihak.

"Selama 10 tahun saya tak pernah usik orang Cina walaupun mereka minoriti. Saya ambil berat semua kerana mereka ini manusia," katanya ketika ditemubual oleh Bernama di pejabatnya sempena genapnya 10 tahun beliau menjadi Menteri Besar Kelantan hari ini.

Nik Aziz berkata pemimpin DAP sendiri bersetuju dengan pandangan Pas bahawa Islam tidak membezakan antara kaum, menyebabkan seorang pemimpin DAP pada satu majlis di Petaling Jaya baru-baru ini, memujinya di hadapan ribuan hadirin.

"Inilah yang menyebabkan orang Cina dalam bandar Kota Baharu sendiri bina pos undi, bawa bendera bulan (lambang Pas, semasa pilihan raya) kerana berani," katanya.

Kerajaan Pas Kelantan mempunyai seorang anggota Exco bukan Melayu iaitu Anuar Tan Abdullah yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hubungan Antara Kaum, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Ditanya mengapakah kaum Cina di luar Kelantan sukar untuk menerima Pas, Nik Aziz berkata ia mungkin berpunca daripada tidak cukup penerangan. "Penerangan tidak cukup itu bukan salah saya, masalah itu (ialah bagi) orang yang bertanggungjawab berkempen," katanya.

Beliau berkata kaum Cina kurang diberi penjelasan berhubung dasar Pas. Nik Aziz berkata kebanyakan mereka yang melawat Kelantan dan rumah beliau di sini selepas pilihan raya umum lepas mendakwa diberi laporan negatif berhubung pemerintahan Pas.

"Mereka (orang Cina) kata rasa tertipu, siapa yang undi Pas dipaksa pakai kain sarung, (lelaki) pakai songkok, (dan) perempuan kena pakai tudung," katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata beliau telah menyediakan barisan pelapis bagi menggantikan tempatnya apabila tiba masanya. "Saya selalu sebut kepada kawan-kawan saya dalam Exco (kerajaan negeri) tolong belajar jadi menteri besar. Orang itu nak jadi menteri besar atau tidak itu terserah kepada dia," katanya.

Ditanya adakah beliau akan melepaskan jawatannya selepas berjaya mempertahankan pemerintahan Pas di Kelantan bagi tiga penggal berturut-turut, Nik Aziz berkata: "Saya ni kalau boleh petang ini pun nak lepas, kalau rakyat minta saya turun. Tetapi dah rakyat tak kata apa, saya akan duduk di sinilah."

Katanya beliau yakin dasar kepimpinan oleh ulama yang diperkenalkannya sejak memerintah Kelantan akan kekal kerana negeri itu banyak melahirkan golongan ulama.

"Saya yakin 100 peratus bahawa Kelantan ini tidak kedekut mengeluarkan orang ulama, sejak daripada 200 tahun dulu lagi," katanya.


  Kembali ke Laman Utama