Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

'Saya sedia hadir mahkamah' - MB Kelantan

PENGKALAN CHEPA, 21 Okt (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan beliau tidak pernah khuatir sekiranya dikenakan tindakan mahkamah ekoran hadir pada satu majlis ceramah agama di Selangor baru-baru ini.

Katanya, beliau akan hadir ke mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian.

"Saya tidak pernah takut sekiranya disapinakan untuk hadir ke mahkamah dan saya bersedia untuk hadir pada bila-bila masa sahaja," katanya selepas merasmikan Ijtimak 10 tahun kerajaan PAS mentadbir Kelantan di tapak Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, pagi ini.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Haji Omar Mohamad dan Ustaz Ismail Nuh serta pemimpin PAS dan Barisan Alternatif seluruh negeri.

Ijtimak yang berlangsung pagi ini adalah acara kemuncak perayaan ulangtahun ke-10 PAS mentadbir Kelantan, manakala pada sebelah malamnya pula diadakan, ceramah Perdana dan solat hajat serta bacaan surah Yaasin yang akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang perayaan ulangtahun sedekad kerajaan negeri termasuk persembahan kebudayaan Islam di Padang Perdana.

Persembahan itu berlangsung malam tadi dengan menampilkan acara pembacaan puisi, nasyid, lawak jenaka oleh kumpulan Wak Sir, dikir barat serta dikir laba. 

Tetap meneruskan ceramah

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri berkata, beliau akan tetap hadir ke mana-mana masjid atau surau di Selangor dan negeri-negeri lain sekiranya ada undangan untuk berbuat demikian.

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan bagi memaklumkan larangan berceramah agama di seluruh masjid dan surau di negeri berkenaan.

Bagaimanapun ketika surat berkenaan sampai di Kota Darulnaim, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah berada di Selangor dan menghadiri satu majlis ceramah agama di sebuah masjid di Kelang.

Surat larangan yang bertarikh 10 Oktober 2000 itu ditandatangani Pengarah Jais, Haji Mansur Ramli. Enam hari kemudian Pejabat Menteri Besar Kelantan membalas balik surat tersebut bagi mendapatkan penjelasan butir-butir kesalahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada satu majlis ceramah di Kelang untuk membolehkannya memperbetulkan pada masa-masa akan datang. Surat itu ditandatangani Setiausaha Sulitnya, Nik Mohd Azlan Abdul Hadi.

Hari ini, akhbar melaporkan, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Noh Ahmad berkata, tindakan Menteri Besar Kelantan memberi ceramah tanpa surah kebenaran Jais di Selangor sebagai melanggar Seksyen 12 dan 14, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah gusar sekiranya dikenakan apa-apa tindakan dan akan sanggup hadir ke mahkamah apabila diminta berbuat demikian. Malah tambahnya, beliau akan tetap meneruskan usaha dakwahnya bagi menyampaikan risalah Allah.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan ijtimak itu, beliau berkata, larangan kerajaan Selangor terhadap usahanya untuk berceramah agama di masjid dan surau seluruh negeri itu sebagai tanda kegelisahan dan panik.

"Sedangkan rakyat mereka menghargai majlis-majlis ilmu atau kuliah-kuliah agama.

"Ini akan menyebabkan rakyat mereka sendiri akan marah, dan saya sendiri Insya Allah kalau ada masa saya akan pergi ke masjid-masjid dan surau di negeri tersebut untuk bersembahyang, berjemaah dan berdoa, biarpun tidak dapat berceramah," katanya.

Menurutnya, mudah-mudahan melalui cara itu rakyat akan mendapat pertolongan dari malaikat (langit).

Katanya, sepatutnya sebagai ketua kerajaan mereka mesti berusaha untuk memberi sesuatu yang baik kepada rakyatnya iaitu menggalakkan rakyat mencari ilmu dan membebaskan diri dari kejahilan.

"Negeri berkenaan sudahlah sekolah pondok dan agama tidak seberapa, kalau masjid dan surau pula disekat dari menjadi tempat orang mengajar agama, maka di manakah lagi rakyat mereka dapat mencari ilmu agama.

"Oleh itu kita yakin tindakan itu akan menyebabkan rakyat mereka sendiri marah," katanya.


  Kembali ke Laman Utama