WEB BPPNT


Sumber : Mahazalim

Majlis Bai’ah Masjid Subang Jaya

ROSLAN SMS

Sekali lagi Masjid Darul Ehsan Subang Jaya digegarkan dengan tindakan nekad dan berani ahli-ahli jemaahnya. Kali ini ekoran tindakan rakus dan biadap memecat Imam Muda masjid tersebut oleh Nazir yang tidak diiktiraf oleh ahli-ahli kariah (Nazir UMNO/JAIS). Nazir “badut” Hj. Omar telah dengan gelojohnya mengunakan kuasanya yang tidak diiktiraf itu memecat Imam Muda Ustaz Ridzuan Hashim atas tekanan sahabat-sahabatnya termasuklah penasihat besarnya Hj. Ariffin (Setiausaha “badut”) dan Omar Johari (Tuan Guru “badut”).

Kononnya berkuatkuasa 15 Oktober 2000 Ustaz Ridzuan digugurkan dari jawatan Imam Muda atas kehendak dan arahan JAIS. Tindakan biadap beliau ini ditolak bulat-bulat oleh para ahli kariah. Ustaz Ridzuan yang berkelulusan BA Syariah Al Azhar, Diploma Syariah KUSZA sesungguhnya disenangi dan dipandang tinggi oleh masyarakat Islam Subang Jaya. Sungguhpun pada usia yang muda beliau telah dengan tekun menggunakan kedudukannya membimbing masyarakat tanpa batas usia dengan penuh hurmat dan tertib. Kuliah-kuliah pengajiannya yang “straight forward” dan penuh “authority” itu menerima sambutan baik dari segenap lapisan ahli kariah. Tiba-tiba datang melayang “badut” yang tidak sedikit pun memiliki perasaan malu mahu memecat Imam yang sedemikian rupa.

Maka gempar dan gelisahlah seluruh ahli kariah. Dan semalam sempena malam “terakhir” Ustaz Ridzuan menjalankan tugas para ahli kariah telah mengadakan majlis khas BAI’AH bagi berikat janji setia mempertahankan Ustaz Ridzuan atas dasar kebenaran dan keadilan. Majlis pada malam tersebut dihadiri lebih 180 ahli kariah penduduk Subang Jaya. Sejurus selepas Ustaz Ridzuan mengimamkan solat Isyak Pengerusi majlis mengumumkan darihal tujuan utama majlis, tiba-tiba Hj. Ariffin dan Hj. Omar meluru ke hadapan bagi merampas “mike” dari Pengurusi. Tindakan biadap mereka itu (dalam keadaan majlis berjalan dengan aman dan tertib) serta-merta dipintas oleh para jemaah yang hadir, sehingga berlakulah pergelutan bila mana Hj. Ariffin telah diusung ke luar dari dewan solat diikuti oleh Hj. Omar. Betapa memalukan warga yang telah berusia lebih separuh abad itu bertindak tanpa kewarasan dan diplomasi seolah-olah budak nakal yang tidak berakhlak.

Majlis seturusnya berjalan dengan lancar dimana seluruh ahli jemaah yang hadir telah melafazkan ikrar dan bai’ah bersama memunajat kehadrat Allah swt agar dipertahankan kedudukan Imam Muda tersebut. Majlis ditutup dengan solat hajat berjemaah yang diimamkan oleh Tuan Hj. Hassan Salleh, Ketua Pegawai Kewangan TDM Bhd. dan doa penuh bermakna dan hiba telah disampaikan oleh Ustaz Zawawi dari UIA. Rata-rata para jemaah bersemangat dan beriltizam akan mempertahankan kedudukan Ustaz Ridzuan walau apa pun yang bakal terjadi.

Demikianlah tindakan spontan kalangan para sahabat yang tidak sanggup bersekongkol dan bernaung dengan tindakan zalim oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mudah-mudahan Allah swt mengurniakan kita semua dimana sahaja kita berada dengan anugerah keberanian seumpama ini bila berhadapan dengan si zalim walau dalam bentuk apa sekali pun…..Amin Ya Rabbal Alamin.

Roslan_s@mailcity.com


  Kembali ke Laman Utama