WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Debat Mahfuz - Hishamuddin bulan depan

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata debat satu lawan satu di antara beliau dengan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Mahfuz Omar mengenai hak keistimewaan orang Melayu, akan diadakan bulan depan.

Beliau bagaimanapun berkata tarikh debat masih belum ditetapkan.

Hishammuddin berkata ia akan diadakan sama ada selepas Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia (OCA) di Pusan pada 12 Nov atau sebelum bulan Ramadan (27 Nov).

"Saya akan keluarkan surat kepada Mahfuz menyatakan permintaan beliau dari segi tarikh, masa, tempat dan tajuk dalam dua tiga hari ini dan berharap tiada syarat-syarat lain yang dikenakan oleh pihak Pas," katanya.

Hishammuddin akan berlepas ke perhimpunan OCA di Pusan sebelum 12 Nov, yang akan menentukan tuan rumah Sukan Asia 2006.

"Saya perlu memastikan dalam masa dua tiga minggu ini, kerana hasrat Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 perlu dilaksanakan terlebih dahulu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di pejabatnya di sini, hari ini.

Dua hari lepas (Isnin), Mahfuz buat pertama kalinya mengunjungi ibu pejabat Pergerakan Pemuda Umno di Menara Datuk Onn untuk menyerahkan surat persetujuan mengadakan debat tersebut.

Dalam surat itu, Mahfuz tidak menetapkan sebarang syarat sebaliknya menyerahkan kepada Hishammuddin untuk menentukan tarikh, tempat dan pengerusi debat tersebut.

Hishammuddin berkata debat itu akan turut menyentuh mengenai pelbagai perkara melibatkan orang Melayu iaitu dari segi globalisasi, k-ekonomi, era teknologi dan sebagainya demi untuk pembangunan orang Melayu dalam dunia yang mencabar kini.

"Walaupun perkara itu terkandung dalam perlembagaan sebagai hak keistimewaan orang Melayu, cara bagaimana kita hendak menterjemahkannya dalam dunia dan alaf baru harus diterangkan oleh parti politik dan pemimpin-pemimpin muda.

"Dalam konteks itu, ia relevan untuk anggota kita dan juga rakyat.

"Sekiranya Pas melihat ini (debat) sebagai platform untuk hanya beretorik dan mengeksploitasi untuk kepentingan politik, ia tidak akan membawa apa-apa makna, tetapi bagi saya, saya akan berdepan dengan Mahfuz "once and for all."

Mengulas mengenai pertandingan merebut jawatan Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Hishammuddin berharap perkara itu diselesaikan dengan baik.

"Saya melihat perkembangan dalam MAYC dalam keadaan di mana personaliti dan air muka menjadi kiraan. Ini bukan satu perkembangan yang sihat.

"Saya bukan untuk pandai-pandai tetapi selaku Menteri Belia, saya rasa terpanggil untuk menyatakan... apa juga pertandingan belia, saya harap 'let common sense prevail'", katanya.

Presiden MAYC Tan Sri Sanusi Junid semalam mendakwa setiausaha agung MAYC Sheikh Badar Sheikh Embong melakukan penipuan berhubung perebutan jawatan presiden pertubuhan itu.

Sanusi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sheikh Badar bahawa Datuk Seri Syed Hamid Albar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden MAYC penggal 2000/2001 kerana beliau (Sanusi) dikatakan gagal mengemukakan borang persetujuan pencalonan sehingga tarikh tutup pada 20 Sept lepas.


  Kembali ke Laman Utama