WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Penyakit mulut, kaki dan tangan dikesan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Perubatan dan Kesihatan mengesan seorang budak lelaki berumur 10 tahun dijangkiti penyakit mulut, kaki dan tangan di Kemaman akhir bulan lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Marzukhi Md.Isa berkata terdapat bintik-bintik merah di tapak tangan dan tapak kaki serta luka dalam mulut budak itu.

"Penyakit itu dikesan semasa budak itu datang membuat pemeriksaan di klinik kesihatan," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Bagaimanapun, budak itu diberikan rawatan sebagai pesakit luar kerana keadaannya tidak membimbangkan, katanya.

Dr Marzukhi berkata kanak-kanak bawah umur lima atau enam tahun, yang terdapat tanda-tanda bintik-bintik merah di tapak tangan dan kaki serta luka dalam mulut harus di bawa berjumpa doktor dengan segera.

"Sama ada kanak-kanak itu belajar di tadika, kita akan buat siasatan di tadika," katanya.

Beliau juga meminta semua ibu-ibu yang balik daripada tempat kerja supaya membasuh tangan dan bersihkan diri sebelum memegang anak.

Dr Marzukhi berkata Terengganu bebas daripada penyakit taun sejak tahun 1998 hingga tahun 2000.

Beliau berkata setakat ini, dua orang yang pulang daripada Kelantan terkena ceret-birit tetapi disahkan bukan mangsa taun.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan dan Perubatan telah mengambil beberapa langkah bagi membendung penyakit taun merebak di Terengganu.

Antara lain, katanya, menasihatkan orang ramai yang alami ceret-birit semasa pulang dari Kelantan segera berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan menggunakan air bersih dan memakan makanan yang dimasak, tegasnya.


  Kembali ke Laman Utama