Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Hebahkan kepincangan kepimpinan Mahathir - Ezam

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR 11 Okt (Hrkh) - Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Ezam Mohd Noor berkata tindakannya ke luar negara, iaitu Amerika Syarikat dan London, bukan untuk menjadi ajen asing tetapi bagi membawa mesej kepada dunia antara bangsa berhubung kepincangan sistem pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Menurutnya selepas beliau pulang dari luar negara semalam, kerana menyertai jemputan barisan pemimpin muda dari negara-negara Asia Pasifik, beliau dituduh telah memburuk-burukkan nama negara ini.

"Saya tidak derhaka pada negara Malaysia, saya hanya derhaka dengan Dr Mahathir," katanya ketika berceramah di Markas PAS, Taman Melewar, malam tadi.

Tegasnya, walau apapun terjadi beliau tetap akan mendedahkan kepincangan pentadbiran Dr Mahathir selama ini.

"Kerana itulah saya sanggup menjelajah ke merata negara demi perjuangan dan untuk menegakkan kebenaran," jelasnya lagi.

Beliau berkata, lawatannya ke luar negara adalah atas jemputan kerajaan Amerika bagi menyertai perhimpunan barisan pemimpin muda dari negara-negara Asia Pasifik.

Mengulas mengenai jemputan yang diterimanya, iaitu selama 3 minggu di luar negara, beliau berkata jemputan itu bukan dibuat oleh negara Amerika sahaja tetapi turut didokongi oleh 20 negara Asia Pasific, termasuk Indonesia, Singapura, China, Monggolia dan Amerika sendiri.

Dalam perhimpunan yang disertai oleh 20 buah negara Asia Pasific itu, beliau mendakwa bahawa kebanyakan perwakilan berasa terkejut dengan apa yang berlaku terhadap sistem pemerintahan negara, ini lebih-lebih lagi mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Hampir kesemua peserta di perhimpunan itu terkejut dan bersimpati dengan apa yang berlaku pada Anwar," katanya.

Ezam juga mendedahkan bahawa mulai tahun ini Pemuda Umno tidak akan dijemput lagi untuk perhimpunan tersebut.

Malaysia kini diwakili oleh pemuda Barisan Alternatif pula.


  Kembali ke Laman Utama