WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Wang ihsan duit haram - Tun Salleh

PENGKALAN CHEPA, 13 Okt (Hrkh) - Wang royalti minyak yang dikenali sebagai 'ihsan' oleh kerajaan Pusat sekarang disifatkan sebagai duit haram kerana ia melanggari perjanjian di antara Petronas dan kerajaan Terengganu.

Wang tersebut dikatakan akan disalurkan melalui Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dan terus diagih kepada Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) untuk dimanfaatkan.

Exco Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Tun Salleh Abbas berkata, wang yang diberi nama sebagai ihsan itu merupakan duit haram kerana melanggar perjanjian yang dibuat pada 1975.

Katanya, kerajaan Terengganu tidak tahu sama ada wang tersebut masih lagi berada di tangan Petronas atau sudah diambil kerajaan Pusat.

"Mereka yang menggunakan wang tersebut mungkin akan menjadi buncit perut kerana menerima duit haram," katanya pada ceramah di tapak Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), malam tadi.

Beliau juga berkata, apabila wang royalti ('ihsan') disalur kepada JPP sudah tentunya di peringkat bawah akan digunakan oleh JKK.

Katanya, keadaan itu akan menimbulkan masalah pula kerana JKK sudah dimansuhkan kerajaan PAS Terengganu dan digantikan dengan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR).

"Namun Umno masih mahu mewujudkan semula JKK yang sudah dimansuhkan. Ini bermakna penubuhan JKK sekarang adalah salah dari segi undang-undang," tambahnya.

Menurutnya juga, kerajaan Pusat menikmati pendapatan daripada industri petroleum yang berjumlah lebih RM11.6 bilion.

"Sedangkan perairan Terengganu yang digali sumber petroleum hanya menerima royalti sebanyak RM7,000 juta dalam tempoh 22 tahun bermula tahun 1978," katanya.


  Kembali ke Laman Utama