Ma.S.A.M ingin melahirkan rasa terkilan dan marah di atas kenyataan Hishamuddin
Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan yang begitu tidak sensitif minggu lepas
berikutan beberapa protes damai yang disertai oleh pelajar Malaysia menentang
kehadiran Dr. Mahathir di United Kingdom.
Pertama, untuk menyamakan pelajar-pelajar ini dengan pengkhianat negara adalah
satu tuduhan melulu yang jelas menunjukkan sikap pemimpin BN yang
memandang hina sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka. Pelajar-pelajar ini
yang mengharumkan nama Malaysia di bidang akademik di luar negara dengan
sewenang-wenangnya dituduh sebagai pengkhianat negara sedangkan kroni-kroni
mereka yang menyelewengkan duit amanah rakyat dengan pelbagai cara diangkat
sebagai wirawan bangsa.
Ma.S.A.M percaya sikap provokatif sebiginilah yang menyebabkan ramai pelajar
cemerlang kita memilih untuk tidak kembali ke Malaysia selepas tamat pelajaran -
ruang demokrasi untuk bersuara yang dikongkong dan wabak kronisme yang
terlalu tidak dikawal menyebabkan anak muda ini melihat bakat dan kepandaian
mereka sia-sia sahaja jika pulang ke Malaysia. Kemarau tenaga professional ini
tidak akan dapat diatasi tidak kiralah apa rayuan yang dibuat oleh Law Hein Ding,
selagi mentaliti ahli politik BN masih lagi kebudak-budakkan; seperti yang
dibuktikan oleh Hishamuddin minggu lepas.
Kedua, bukanlah hak Hishamuddin untuk menentukan apa yang boleh dan tidak
boleh dibuat oleh para pelajar kita. Beliau bukanlah menteri yang
bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar - adalah lebih baik beliau memikirkan
strategi membanteras gejala dadah yang terlalu kronik di kalangan remaja Melayu
daripada memberitahu pelajar yang sudah terpelajar ini apa yang patut dan tidak
patut dibuat. Apatah lagi protes tersebut dijalankan di negeri orang - sedang kita
bertubi-tubi mengutuk campur tangan 'asing' di dalam hal ehwal dalaman kita,
janganlah kita pula cuba menjadi pendakwa dan hakim bagi peristiwa-peristiwa
yang berlaku di negara orang.
Di atas kenyataannya yang dangkal dan kasar itu, Ma.S.A.M mendesak
Hishamuddin menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada para
pelajar yang terbabit.
Ma.S.A.M juga ingin mengajak masyarakat pelajar dan belia untuk menyertai
kempen kami memboikot semua upacara yang dihadiri Hishamuddin. Kempen
yang bermula pada hari ini 14 Oktober 2000 akan dijalankan selama enam bulan
sehingga 14 April 2000.
Belia dan pelajar diminta tidak menghadiri upacara-upacara tersebut, sebaliknya
mencetak logo Kempen Memboikot Hishamuddin dan mengedarkannya di
upacara-upacara tersebut. Logo tersebut akan dipaparkan di laman-laman
reformasi tidak lama lagi.
Ma.S.A.M percaya dengan tindakan sebegini sahajalah golongan muda dapat
mengajar menteri yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka agar lebih
berhemat dalam mengeluarkan kenyataan - walaupun di dalam usaha beliau
membodek Dr. Mahathir.
Sertailah kempen kami mendesak Hishamuddin meminta maaf.
Ahmad Kamal Mustapha
Pengerusi Ma.S.A.M