WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Harakah nafi terbit berita PM murtad

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Akhbar rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Harakah, tidak pernah menerbitkan berita yang menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad adalah murtad, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas Setiausaha Agung PAS, Halim Arshat, 58, menafikan di mahkamah bahawa sebagai pemegang permit akhbar tabloid itu, beliau pernah memberi kebenaran kepada Harakah untuk menerbitkan berita tersebut.

Halim kelihatan menghadapi kesukaran dalam pertuturannya menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin, akibat serangan angin ahmar pada Febuari 1998.

Halim berkata laporan berita yang disiarkan oleh TV3 melalui rancangan Buletin Utama, pada 18 Ogos 1997, pada pukul 8 malam, mengenai Harakah menerbitkan berita itu adalah satu fitnah ke atas dirinya sebagai pemegang permit ahkbar itu.

Laporan berita TV3 yang berunsur fitnah itu ialah " mengenai tabloid Harakah siar rencana dakwa Perdana Menteri murtad, Pusat Islam akan cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengkaji semula permit akhbar itu".

Pada 3 Mac lepas, Halim memfailkan saman terhadap Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) dan dua yang lain menuntut ganti rugi RM60 juta kerana mendakwa mereka telah menyiarkan satu laporan berita yang berunsur fitnah terhadapnya.

Dalam samannya, Halim menuntut RM20 juta dari setiap defendan iaitu STMB, pengarah operasi TV3 Yunus Said dan penerbit Buletin Utama, TV3, Rozaireen Ibrahim.

Selain daripada itu, Halim juga menuntut satu perintah mahkamah untuk mengarahkan mereka menyiarkan satu permohonan maaf dalam rancangan Buletin Utama selama tiga hari berturut-turut.

Menjawab soalan peguam L.H.Looi, yang mewakili tiga defendan itu, Halim bersetuju bahawa penyunting merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas sesuatu terbitan rencana dalam Harakah.

Sementara itu, Datuk Hishamuddin Yahya, 61, pengarah urusan Harakah, memberitahu mahkamah bahawa walaupun nama Halim tidak disebut dalam laporan berita Buletin Utama itu tetapi sebagai pemegang permit akhbar itu, beliau bertanggungjawab ke atas berita yang diterbitkan dalam ahkbar itu.

Hishamuddin berkata berita yang disiarkan di TV3 itu adalah tidak benar sama sekali dan satu fitnah yang amat jahat ke atas Halim.

"Selalunya berita yang disiarkan oleh TV3 mengenai PAS berat sebelah dan dalam banyak keadaan ianya mengelirukan terutama bagi yang belum mengenali perjuangan PAS," katanya.

Menjawab pertanyaan Looi, Hishamuddin berkata beliau ada membuat satu pertemuan dengan PAS untuk membincangkan tindakan yang harus diambil terhadap laporan berita TV3 yang palsu itu.

Beliau berkata hasil pertemuan itu adalah keputusan untuk membuat tuntutan terhadap TV3.

"Saya bersetuju TV3 bertanggungjawab untuk menyiarkan berita yang benar tapi saya tidak setuju apabila TV3 menyiarkan berita yang tidak benar," kata Hishamuddin.

Semasa menjawab soalan Looi bahawa kesalahan TV3 itu adalah kesalahan yang boleh diterima, Hishamuddin berkata kesalahan yang dibuat oleh TV3 itu adalah satu kerosakan dan satu kemusnahan yang sangat besar terhadap PAS dan orang Islam.

"Dan TV3, saya tidak dapat maafkan," kata Hishamuddin yang juga seorang ahli lembaga pengarah Harakah.

Apabila ditanya Looi mengapa PAS tidak meminta penjelasan daripada TV3 mengenai perkara itu, Hishamuddin berkata "PAS sudah tahu, apa juga permohonan seperti penjelasan oleh TV3 dan apa-apa media pun, tidak akan diberi sedikit pun layanan".

Hishamuddin tidak bersetuju dengan cadangan Looi bahawa berita yang disiarkan dalam Buletin Utama itu tiada unsur memfitnahkan kerana apa yang dilaporkan sudah diketahui umum.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Dr R.K.Nathan disambung esok.


  Kembali ke Laman Utama