WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Nik Aziz cabar Jais tunjuk kesalahannya

KOTA BAHARU, 17 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menunjukkan kesilapan yang telah dilakukannya semasa memberikan ceramah agama di Selangor selama ini dan jika gagal beliau akan terus berceramah di negeri itu.

"Tolong tunjuk kepada saya kesilapan saya supaya boleh saya baiki. Ilmu sesat ke, kalau ilmu sesat tunjuk di mana (sesat itu)," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengakui telah menerima surat daripada JAIS semalam (Isnin) yang kandungannya melarang beliau daripada mengajar di mana-mana masjid dan surau di Selangor selepas ini.

Nik Aziz berkata, beliau telah membalas surat yang ditandatangani oleh Pengarah JAIS, Mansur Ramli pada hari itu juga dengan meminta JAIS memberikan penjelasan serta menunjukkan kesilapan yang beliau lakukan semasa memberikan ceramah agama di masjid-masjid negeri itu.

"Saya sebut dalam surat tolong tunjuk di mana silap saya dan jika tidak saya akan terus mengajar macam biasa," katanya.

JAIS mengeluarkan surat itu berikutan tindakan terbaharu Nik Aziz pada Sabtu lepas yang mengingkari arahan JAIS dengan berceramah agama di sebuah masjid di Rantau Panjang, Klang Semalam, Pengarah JAIS Mansur Ramli berkata JAIS akan mendapatkan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri Selangor bagi menentukan bentuk

tindakan yang boleh diambil terhadap Nik Aziz kerana melanggar arahan mengadakan ceramah di masjid dan surau negeri itu.

JAIS sebelum ini telah melarang mana-mana institusi agama di negeri itu daripada menganjurkan ceramah agama melibatkan pemimpin pembangkang.

Terdahulu, Nik Aziz merasmikan penutupan mesyuarat agung perwakilan ke-3 Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPPM) yang berlangsung selama sehari, di sini.

Ditanya mengenai sekumpulan 500 orang mengadakan demonstrasi bagi membantah persembahan seorang artis tempatan di majlis makan malam bagi pegawai-pegawai tadbir negeri di sini, Sabtu lepas, sehingga polis bertindak menahan reman tiga orang, Nik Aziz berkata beliau tidak boleh mengulas kerana kes itu kini dalam siasatan polis.

Berhubung hiburan di negeri itu, Nik Aziz berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak mengharamkan wayang kulit dan membenarkan permainan wayang kulit yang mengandungi unsur keilmuan yang boleh membuka minda masyarakat ke arah kebaikan.

Banyak kisah sejarah perjuangan wira tempatan seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong yang boleh diketengahkan melalui wayang kulit, katanya.

Nik Aziz berkata menerusi kepimpinan ulama di Kelantan bukan semua amalan kebudayaan diharamkan sebaliknya Islam membenarkan aktiviti bercorak kebudayaan sesuatu kaum asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut beliau, pengharaman wayang kulit hanya dibuat terhadap permainan yang membawa kisah tahyul dan tidak berpijak di alam nyata kerana ia tidak menambah ilmu kepada peminatnya.


  Kembali ke Laman Utama