WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Kadir Jasin rancang beli Bernama dan RTM: The Edge

KUALA LUMPUR, 1 Okt (AFP) - Bekas pengarang kumpulan New Straits Times sedang merancang mengambil alih agensi berita nasional Bernama dan beberapa stesen radio milik kerajaan, lapor sebuah majalah urusniaga hari ini.

The Edge melaporkan Dato' Abdul Kadir Jasin, yang telah memegang jawatan Ketua Pengarang New Straits Times sehingga Januari lalu, telah membentangkan sebuah kertas cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk membeli Bernama.

Bernama merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Penerangan.

The Edge melaporkan kertas cadangan itu termasuk pembelian Radio Televisyen Malaysia (RTM), enam stesen radio serta Perbadanan Kemajuan Filem Kebangsaan, yang juga di bawah Kementerian tersebut.

Kadir Jasin dan Ketua Pengarang Bernama tidak dapat dihubungi untuk mengulas laporan tersebut. Kadir dilantik pengerusi Bernama pada 1 September.

Sebelum ini, kerajaan merancang menswastakan agensi berita nasional itu, yang kini telah beroperasi selama 32 tahun dan mempunyai seramai 400 pekerja.

The Edge berkata kertas cadangan Kadir, yang juga melibatkan dua lagi nama, telah menerima "persetujuan senyap" ('tacit approval'). Ia menamakan kedua-dua orang itu Mohamad Ibrahim Mohamad Nor, pengarah urusan Padiberas Nasional, dan Jalaluddin Baharuddin, bekas setiausaha akhbar perdana menteri Dato Seri Dr Mahathir Mohamad.

Pelepasan jawatan Kadir dari New Straits Times telah mengundang spekulasi bahawa beliau tidak disukai lagi oleh Mahathir kerana penulisannya. New Straits Times merupakan suratkhabar yang paling kuat menyokong kerajaan.

Bagaimanapun, pada bulan Julai, Kadir mengambil alih Berita Publishing, iaitu anak syarikat kumpulan NST yang menerbitkan majalah.

The Edge juga melaporkan, rancangan membeli Bernama merupakan kali kedua Kadir terlibat dalam masa sedekad. Ia berkata, pada tahun 1993, Kadir juga terlibat dalam pembelian pengurusan kumpulan New Straits Times menerusi syarikat Realmild.