WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Mahkamah tolak petisyen pilihanraya DUN Ketereh

KOTA BAHARU, 16 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini, Isnin, menolak petisyen yang difailkan oleh seorang pengundi untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketereh di Kelantan.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas pihak pembuat petisyen memaklumkan tidak akan membantah terhadap notis bantahan awal yang dikemukakan oleh responden ketiga, Md Ashari Mamat dari PAS yang memenangi kerusi itu.

"Dengan tiada bantahan (oleh pembuat petisyen) terhadap isu-isu bantahan awal yang dikemukakan oleh responden ketiga, maka mahkamah membatalkan petisyen ini," katanya.

Zulkefli juga membenarkan pihak pembuat petisyen dan responden menyelesaikan secara rundingan berhubung pembayaran kos.

Terdahulu peguam Mohd Apandi Ali yang mewakili pembuat petisyen Kamarudin Said memaklumkan bahawa pihaknya tidak membantah notis bantahan awal yang dikemukakan oleh responden itu serta kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan isu kos secara rundingan.

Kamarudin, Pegawai Khas Kementerian Penerangan di Kelantan dalam petisyennya menamakan pegawai pengurus pilihan raya DUN Ketereh sebagai responden pertama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Md Ashari Mamat calon PAS yang memenangi pilihan raya kawasan itu, masing-masing responden kedua dan ketiga.

Semalam mahkamah yang sama menggugurkan pegawai pengurus pilihan raya dan SPR daripada dijadikan pihak dalam petisyen berkenaan kerana pembuat petisyen tidak membantah notis bantahan awal yang dikemukakan oleh responden pertama dan kedua.

Peguam Zamani Ibrahim yang mewakili responden ketiga (Md Ashari) berkata notis bantahan awal yang difailkannya pada 22 Julai lepas itu antara lain menyatakan petisyen berkenaan perlu ditolak kerana cacat berikutan kegagalan pembuat petisyen menyatakan secara khusus peruntukkan undang-undang yang digunakan berhubung undi pos.

Kamarudin dalam petisyen itu, antaranya mendakwa responden pertama dan kedua tidak mengendalikan proses pengundian pos dengan sempurna dan adil hingga menimbulkan keadaan-keadaan yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 32(a) dan Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


  Kembali ke Laman Utama