WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

PAS umumkan penubuhan Majlis IT

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Hrkh) - PAS Sabtu lepas mengumumkan penubuhan Majlis Teknologi Maklumat PAS Pusat bagi menjadi pengawal dan penggalak kepada perkembangan IT dalam semua peringkat organisasi parti itu.

Pengumuman penubuhan itu dibuat oleh Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor ketika merasmikan seminar dan bengkel Teknologi Maklumat 2000 semalam.

Perisytiharan itu dibuat di depan hampir kesemua pemimpin kanan PAS termasuklah Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden, Abdul Hadi Awang, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agong serta ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan para pemimpin PAS peringkat negeri dari seluruh negara.

Majlis IT PAS itu, katanya, akan mengkaji dan merangka halatuju dan gerakerja PAS dalam memanafaatkan teknologi maklumat. Majlis ini, katanya, akan dianggotai oleh ahli-ahli PAS yang pakar dan mahir dalam bidang yang berkaitan dengan IT.

Ädalah diharapkan langkah ini akan membolehkan kita berdaya saing dan terkehadapan daripada musuh kita,"kata Fadzil di hadapan kira-kira 260 orang peserta itu.

Selain Majlis IT, PAS juga akan mengembangkan Unit IT ke peringkat negeri dan kawasan setelah ianya telah sekian lama beroperasi di peringkat Pusat.

Dalam ucapannya, Presiden PAS itu menegaskan, dengan IT, PAS tidak boleh lagi bersungut bahawa parti itu tidak mempunyai media seumpama radio dan TV sebelum ini kerana dengan IT ianya terbuka luas.

"Dahulu kita sering mengeluh dan mengatakan bahawa masalah dan kekurangan kita adalah ketiadaan media-media penyebaran maklumat seperti stesen TV dan radio serta media cetak yang terhad. "Kini, kita sebenarnya patut sedar dan berbangga bahawa kita telah pun memiliki siaran TV melalui Web TV. Kita juga memiliki perkhidmatan Web Radio, rakaman-rakaman kenyataan dan ucapan-ucapan secara on-line. "Lebih hebat lagi, semua itu boleh diperolehi bukan sahaja oleh rakyat Malaysia di tanahair, malah juga oleh rakyat Malaysia yang sedang berada di negara asing, termasuk juga orang asing yang berminat dengan perjuangan kita,"jelas Fadzil.

Sementara itu, ketika menutup sessi bengkel pada sebelah malamnya, Setiausaha Agung PAS, Nasharudin Mat Isa mengumumkan, PAS bercadang untuk menganjurkan kempen cinta IT di kalangan ahli PAS dan juga kepada rakyat negara ini.

"Kita akan mengusahakan agar kesemua rumah ahli PAS memiliki sebuah komputer yang mempunyai hubungan ke internet bagi membolehkan laman-laman web milik PAS diikuti sepanjang masa,"jelas Nasharudin.

Beliau juga mengumumkan peruntukan untuk membolehkan Unit IT PAS memiliki server sendiri bagi dijadikan tapak kepada laman-laman web PAS.


  Kembali ke Laman Utama