WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Royalti minyak: Pemuda PAS Pulau Pinang serah memo sokongan

BAYAN BARU, 16 Okt (Hrkh) - Badan Perhubungan dan Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menyampaikan memorandum sokongan kepada Kerajaan Negeri Terengganu melalui Menteri Besarnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang setelah beliau tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Ahad lalu.

Memorandum dua muka surat itu telah diserahkan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda, Ishak Ismail dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Hamdan Abdul Rahman serta rakyat yang cintakan keadilan sejagat.

Ishak dalam memorandum itu menegaskan, sikap dan tindakan Kerajaan Pusat di bawah Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak demokratik kerana hendak masuk campur dalam pemberian wang royalti minyak yang telah dimeterai melalui perjanjian semenjak 1975.

"Kerajaan BN sanggup mencabuli hak Negeri Terengganu secara rakus kerana kecewa dengan mengeruhkan lagi suasana apabila rakyat keseluruhannya dihukum apabila negeri itu tidak lagi diperintah oleh BN," jelasnya.

Katanya, PAS dan masyarakat Islam Pulau Pinang mengingatkan rakyat Terengganu supaya bersabar menghadapi perbuatan yang dianggap "bodoh" itu.

PAS dan masyarakat di sini tambahnya, mendesak Petronas supaya tidak terpengaruh dengan dasar pelik BN dan hendaklah bertindak rasional mengikut perjanjian yang dibuat pada tahun 1975.

"Petronas mestilah bertindak dengan rasional dan tidak terikut dengan cara dan sikap BN yang hanya mahu membalas dendam dalam isu ini. "Sebaliknya mengikut lunas-lunas yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Terengganu semenjak 1975 lagi, " terangnya dalam sidang akhbar kemudiannya.


  Kembali ke Laman Utama