WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Nik Aziz mengaku tidak berpolitik di masjid dan surau

KOTA BAHARU, 18 Okt (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kunjungannya ke Selangor baru-baru ini adalah bagi menyampaikan ceramah berkaitan agama di surau dan masjid dan bukannya untuk berpolitik.

Beliau berkata ceramah agama yang disampaikannya itu tidak mengaitkan soal-soal politik semasa dan hanya bertumpu kepada kandungan dan tuntutan agama.

"Perkara-perkara berkaitan politik, saya sendiri tidak sebut tetapi kalau ada orang (jemaah) bertanya saya akan jawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan musyawarah K-Ekonomi negeri Kelantan di sini, Rabu.

Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai mengulas surat yang diterimanya dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Isnin lepas yang melarangnyadaripada berceramah di semua surau dan masjid di negeri itu.

JAIS mengeluarkan arahan itu berikutan tindakan terbaru Nik Abdul Aziz pada Sabtu lepas yang mengingkari arahan JAIS dengan berceramah di sebuah masjid di Rantau Panjang, Klang.

Nik Abdul Aziz berkata beliau telah membalas surat JAIS itu dengan meminta jabatan agama itu menjelaskan sebarang kesilapan yang dilakukannya semasa berceramah hingga menyebabkan timbul arahan melarangnya berceramah di institusi agama di Selangor.


  Kembali ke Laman Utama