WEB BPPNT


Sumber : Malaysiakini

K'jaan pusat tiada hak hapus royalti T'ganu

Ng Boon Hooi p>7pm, RABU: Kerajaan persekutuan tidak mempunyai sebarang hak untuk menafikan pembayaran wang royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan PAS Terengganu.

"Perjanjian ini tidak ada langsung kena mengena dengan kerajaan pusat yang membolehkan ia campur tangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak kerajaan Terengganu," kata Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Terengganu Tun Mohd Salleh Abas, merujuk Seksyen 4 Akta kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara negeri itu dengan Petronas pada 22 Mac 1975.

"(Campur tangan) ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Persekutuan."

"Sekarang sudah jelas dan nyata bahawa kerajaan Terengganu telah dinafikan haknya kerana royalti bagi pengeluaran dalam tempoh bulan Januari hingga 1 Julai tahun ini, yang sepatutnya dibayar pada 1 September baru-baruini, belum lagi dibayar," kata Mohd Salleh lagi dalam sesi soal-jawab dengan malaysiakini hari ini. [Lihat Wawancara dengan Mohd Salleh Abas, 11 Okt]

Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan berpegang kepada prinsip perundangan dan "tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian" dan "tindakan ganas ini" (pemberian wang ehsan) hendaklah ditarik semula.

Beliau menambah, Terengganu tidak mengetahui apa-apa tentang kaedah pembayaran baru itu melalui Jawatankuasa Pembangunan Pusat (JPP) kecuali melalui satu salinan kenyataan Kementerian Kewangan pada 5 September lalu.

"Tidak ada persetujuan yang sedemikian telah dibuat (antara kerajaan pusat dengan negeri), bahkan kerajaan negeri Terengganu pun tidak tahu dan langsung tidak diberitahu secara rasmi oleh Petronas dan kerajaan pusat bahawa negeri itu tidak mempunyai apa-apa hak," katanya lagi.

Tindakan menukarkan nama bayaran kepada wang ehsan tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu pada segi undang-undang kerana ia mesti dibayar oleh Petronas dan menjadi hak Terengganu, tambahnya.

Beliau juga membidas kerajaan pusat yang menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memberikan royalti pada 1974 kerana Terengganu dianggap negeri paling miskin waktu itu.

"(Kenyataan) itu tidak boleh diterima akal," kata Mohd Salleh.

Diskriminasi tanpa royalti

Menurutnya, Akta Kemajuan Petroleum berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 dan perjanjian wang tunai (royalti) di bawah akta itu dibuat pada pada 22 Mac 1975.

Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 tetapi petroleum hanya dijumpai di persisiran pantai Terengganu pada pertengahan tahun itu dan dikeluarkan dua tahun kemudian. Pada tahun 1978, Terengganu menerima royalti lebih kurang RM13 juta.

"Mustahil Abdul Razak mengarahkan supaya royalti petroleum dibayar kepada Terengganu sebelum beliau meninggal dunia sedangkan petroleum belum dijumpai," jelas bekas Ketua Hakim Negara itu.

Mohd Salleh juga menjelaskan latar belakang penggubalan akta-akta berhubung Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri yang mengandungi petroleum.

"Untuk menyelesaikan masalah ketegangan kerajaan pusat dengan kerajaan Sarawak, akhirnya dua kerajaan itu bersetuju bahawa dasar lautan tidak boleh dimiliki mana-mana negeri dalam Malaysia, tetapi hak kepunyaan minyak yang ada di dasar lautan dan di daratan boleh dimiliki oleh negeri-negeri," jelasnya.

Menurut akta petroleum 1974, minyak yang ditemui di sesebuah negeri hendaklah diserahkan kepada Petronas dan syarikat itu pula dikehendaki membayar wang tunai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam satu jumlah wang yang dipersetujui.

"Meneruskan bayaran royalti kepada Sabah dan Sarawak tetapi menghapuskan bayaran ini kepada Terengganu adalah satu perbuatan diskriminasi.

"Penghapusan ini tidak sah dan tidak berkesan dari segi undang-undang," kata Mohd Salleh.

Beliau juga menegaskan bahawa isu tentang penemuan minyak di luar kawasan 3 atau 12 batu nautika tidak boleh dijadikan asas undang-undang untuk menghapuskan hak negeri itu.

"Isu ini telah dihapuskan dan diselesaikan (selepas penubuhan Petronas) oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan (Akta Perlombongan Petroleum 1966) tidak relevan lagi," kata Mohd Salleh.


  Kembali ke Laman Utama