Keganasan yang dicetuskan oleh regim Zionis Israel di wilayah yang diduduki
selepas tindakan pemimpin parti Likud, Ariel Sharon mencemari kesucian
Masjidil Aqsa pada 28 September lalu jelas menunjukkan bahawa pendirian
seluruh gerakan Islam di dunia termasuk PAS menolak apa yang disebut sebagai
'perjanjian damai Arab-Israel' adalah tepat.
PAS mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman dan kekerasan yang dilakukan oleh
askar-askar Zionis di sekitar kawasan al Haram di Baitulmaqdis dan di
Semenanjung Gaza. Seperti yang diketahui umum Sharon merupakan kepala
pengganas yang bergerak bebas bertopengkan sebagai ahli politik. Beliau dan
regim Barak mempunyai agenda yang sama iaitu untuk menakluk seluruh kawasan
yang diduduki. Lebih dahsyat lagi regim pengganas itu mahu memusnahkan
Masjidil Aqsa - kiblat pertama umat Islam dan tempat Isra' dan Mi'rajnya
Nabi Muhammad (SAW) pada bulan Rejab yang mulia ini.
Walaupun Yasser Arafat nampaknya sudah banyak tunduk kepada Zionis tetapi
rakyat Palestin masih mempertahankan maruah ummah dan kesucian masjid. Kita
mendoakan supaya perjuangan mereka membebaskan wilayah yang diduduki
daripada Zionis Israel memperolehi kejayaan. Hanya jihad yang berterusan
dapat mengembalikan hak umat Islam dan rakyat Palestin.
PAS juga ingin mengingatkan semua pihak terutama pemerintah Malaysia yang
semakin galak untuk mengadakan hubungan dengan regim Zionis itu supaya
menghentikan sandiwara 'mengutuk' keganasan Zionis sedangkan ia sudah
memulakan langkah ke arah itu. Adalah satu perkara yang amat memalukan umat
Islam ketika mana rakyat Palestin, tidak kira kanak-kanak, orang tua dan
wanita ditembak secara tidak berperikemanusiaan, pemerintah Malaysia di
bawah Dr Mahathir berusaha untuk berbaik-baik dengan regim pengganas itu.
Kita mendesak kerajaan Malaysia supaya melupakan sahaja usaha-usaha seumpama
itu. Dalam masa yang sama kita mahu kerajaan Malaysia mendesak Majlis
Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar bagi
membahaskan kekejaman terbaru Israel.
PAS juga kesal kerana Persidangan Negara Islam (OIC) tidak mengambil langkah
aktif menyelamatkan rakyat Palestin dan terus berdiam diri. Di samping itu
PAS menuntut semua negara Arab yang telah pun mengadakan hubungan diplomatik
dengan Israel supaya memutuskan segera hubungan sumbang itu. PAS juga mahu
Amerika Syarikat tidak membisu apabila rakyat Palestin di zalimi. Mereka
harus turut sama mengutuk Israel dan mengenakan tindakan keras ke atas
mereka. AS jangan bertindak hanya apabila rakyat Israel yang menjadi
mangsa.
PAS menyeru kepada seluruh umat Islam supaya mengadakan majlis solat hajat
untuk umat Islam Palestin yang dizalimi itu dan khususnya supaya Masjidil
Aqsa selamat daripada pencerobohan regim Zionis Israel.
DATO' HAJI FADZIL MOHD. NOOR
PRESIDEN PAS