KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Hrkh) -
Kerajaan negeri Terengganu akan mencetak semula
tiga dokumen berkaitan dengan bayaran royalti
minyak lima peratus oleh Petronas kepada kerajaan
negeri Terengganu untuk diedarkan kepada mana-mana
pihak yang berminat.
Setiausaha
Akhbar Menteri Besar Terengganu, Zahari Mohamad
berkata, beliau menerima permintaan yang bertalu-talu
dari media termasuk antarabangsa untuk mendapatkan
salinan tersebut.
"Saya
memberi jaminan, semua pihak yang berminat untuk
mendapatkan dokumen itu akan memperolehinya sedikit
masa lagi. Pihak kami sedar menguruskan usaha
untuk mencetak semula ketiga-tiga dokumen itu,"
kata Zahari kepada Harakah.
Pada
4 Oktober lepas, Menteri Besar Terengganu telah
mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Menteri
Besar telah mengeluarkan ketiga-tiga dokumen itu
dari senarai Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ini
bermakna, orang ramai boleh melihat dan memiliki
dokumen tersebut untuk memahami kedudukan sebenar
perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri
Terengganu mengenai royalti minyak.
Ketiga-tiga
dokumen itu adalah Surat Acara di bawah Seksyen
2(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani
oleh Menteri Besar Terengganu dan Petronas pada
22 Mac 1975 di Kuala Terengganu.
Perjanjian
bertarikh 22 Mac 1975 di bawah Seksyen 4 Akta
Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh
Mneteri Besar negeri Terengganu dan Petronas dan;
Perjanjian melalui surat bertarikh 16 Septermber
1987 yang ditandatangani oleh Pengerusi Petronas
dna Menteri Besar Negeri Terengganu.
Tindakan
ini dibuat oleh Abdul Hadi Awang dibuat melalui
kuasa di bawah Seksyen 2C, Akta Rahsia Rasmi 1972
(Akta 88).