Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Mohd Rizal diarah kemuka writ saman terhadap UUM

ALOR SETAR, 23 Okt (Bernama) -- Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyaman universiti itu kerana tidak berpuashati digantung tiga semester pengajian, diarah Mahkamah Tinggi supaya memfailkan writ saman untuk membolehkan saksi-saksi dipanggil.

Sebelum itu Hakim Datuk Ariffin Zakaria mendengar saman permula Mohamed Rizal Mohamed @ Anan, 23, di dalam kamarnya di sini Isnin yang meminta mahkamah membatalkan keputusan universiti menggantung pengajiannya.

Mohamed Rizal, pelajar tahun akhir jurusan perakaunan dari Terengganu, mendakwa dia digantung tiga semester oleh UUM atas kesalahan memburukkan nama UUM apabila mempertikaikan kenyataan wartawan akhbar Mingguan Malaysia, Astora Jabat, semasa satu ceramah Astora di universiti itu pada 11 Feb lepas.

Katanya dia mempunyai satu lagi kertas peperiksaan untuk dihabiskan ketika menerima keputusan penggantungannya pada 14 Mac lepas.

Peguam pelajar itu, Mohamed Hanipa Mydin ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya akan memfailkan writ saman dalam minggu ini juga.

Sementara itu dua pelajar perempuan ditahan polis untuk diambil keterangan dan dibebaskan sejam kemudian setelah menyertai kira-kira 200 pelajar universiti berkumpul di luar perkarangan mahkamah itu.

Ketua Daerah Polis Kota Setar ACP Hussein Bapoo yang dihubungi berkata polis turut merampas beberapa poster dan risalah yang dibawa oleh beberapa pelajar berkenaan yang mengkritik pentadbiran UUM dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Kumpulan pelajar itu beredar dari perkarangan mahkamah setelah diminta polis bersurai.


  Kembali ke Laman Utama