WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Curigai kemampuan Islam: Kenyataan Mahathir disanggah

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sekiranya parti Islam memerintah, negara tidak akan maju, disanggah oleh pelbagai pihak hari ini.

Di Universiti Cambridge, London semalam Dr Mahathir dipetik sebagai berkata kalau Parti Islam memerintah, negara tidak akan maju.

Mereka yang dihubungi oleh Harakah bagi mendapatkan ulasan, menyatakan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai 'melampau' dan keterlaluan.

Ustaz Abdul Jabar, 35, dari Kuala Lumpur menyifatkan kenyataan itu sudah menyimpang daripada lunas-lunas Islam.

"Sebagai orang Islam sepatutnya tegakkan Islam. Islam telah terbukti menjadikan masyarakatnya bertamadun.

"Ia mengajar masyarakatnya berkasih sayang bukannya menjadi masyarakat yang kejam," katanya.

Menurutnya Islam tidak membawa umatnya ke zaman ortodoks dan sejarah telah membuktikan bahawa perlembagaan yang digariskan oleh Rasulullah telah menjadi contoh perlembagaan yang terbaik.

Penterjemah bebas, Fhathurrahman Mohd Amin, berkata Islam tidak menghalang kemajuan.

Jelasnya, telah terbukti ajaran Islam berkemampuan memberi kemajuan, yakni mencakupi dalam bidang kehidupan terutamanya dalam perlembagaan dan ilmu pengetahuan.

"Saya tidak faham, mengapa mereka mesti menolak parti Islam sedangkan Islam itu sesuai sepanjang zaman," katanya.

Ditanya mengenai hubungan antarabangsa kononnya parti PAS tidak menonjol seperti Umno, beliau berkata adalah tidak benar kerana setakat ini parti tersebut tidak diberi peluang untuk jalinkan hubungan diplomatik.

"Kalau tidak ada peluang mmerintah bagaimana hendak dinilai,'" katanya.

Kontraktor binaan, Ismail Ibrahim, tidak bersetuju dengan pandangan sesebuah negara yang diperintah oleh sebuah parti yang berlandaskan Islam, tidak akan membangun.

Katanya, pembangunan yang dibawa oleh Islam tidak bertentangan dengan zaman kemajuan.

"Islam sendiri telah menetapkan bahawa pembangunan itu adalah fardu kifayah, dengan itu apa lagi yang disangsikan," jelasnya.

Bekas penuntut bidang Pengajian Islam, Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Hidayati Abu Hasan berkata adalah tidak patut sekiranya Islam itu dikatakan membantutkan kemajuan.

"Islam adalah agama syumul, mengapa pula kita tidak dapat menerimanya.

Dalam Islam telah menceritakan segala aspek dari segi ekonomi mahupun pentadbiran, malah ia juga mengajaknya umat supaya berlumba mengejar kemajuan seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beramallah kamu seperti kamu akan mati esok hari," katanya.

Dalam hal ini juga, menurutnya Perdana Menteri tidak sepatutnya menyalah PAS tidak pandai menjalinkan kerjasama dengan negara-negara luar.

Katanya, ini kerana adalah menjadi tanggungjawab sesebuah parti yang memerintah untuk membuat hubungan diplomatik.


  Kembali ke Laman Utama