WEB BPPNT


Sumber : E-mel

Seriuskah Kerajaan Dalam Menangani Gejala Sosial ?

Saya merujuk kepada kenyataan TPM (Utusan Malaysia, Rabu, 4 Oktober 2000, halaman 1) tentang cadangan kerajaan untuk mengharamkan pusat-pusat permainan video bagi mengurangkan peningkatan gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja hari ini. Walaupun ianya masih dalam peringkat cadangan, namun kita seharusnya mengalu-alukan tindakan kerajaan tersebut.

Sungguhpun begitu, beberapa persoalan yang saya ingin timbulkan ialah adakah ini bermakna bahawa kerajaan adalah benar-benar serius dalam menangani kemelut sosial yang berlaku kini ? Sejauh manakah pusat-pusat video ini menjadi punca atau faktor ke arah berlakunya masalah sosial ? Sedangkan jika dikaji secara teperinci, pusat-pusat video hanyalah merupakan pusat tumpuan bagi remaja untuk melepaskan kebosanan mereka dengan bermain games di pusat-pusat tersebut. Dalam isu ini, saya melihat jika kerajaan benar-benar ingin menangani isu ini, sepatutnya yang terlebih dahulu diharamkan ialah pusat-pusat karoake, disko-disko, konsert-konsert anjuran Salem dan sebagainya, yang mana inilah merupakan penyumbang utama ke arah runtuhnya tamadun akhlak remaja hari ini. Tempat-tempat sebeginilah yang menjadi sarang untuk remaja bukan sekadar meminum minuman keras dan mendapatkan pil khayal seperti pil estacy, malah pusat untuk mereka melepaskan nafsu syahwat dengan melanggan pelacur yang ada di samping berlakunya pergaulan yang amat bebas antara lelaki dan wanita.

Ini terbukti melalui serbuan-serbuan oleh pihak-pihak Polis dan Jabatan Agama Islam ke tempat tersebut, yang mana jelas dilaporkan dalam akhbar-akhbar rasmi kerajaan, menjadi tumpuan golongan muda termasuk muda-mudi Islam untuk berseronok dan melakukan maksiat sesuka hati. Begitu juga, di manakah keseriusan kerajaan dalam menangani penjualan VCD lucah ? Yang ketara di Petaling Street Kuala Lumpur dan kebanyakkan kedai-kedai vidoe, VCD lucah itu dijual secara terbuka dan berleluasa. Mengapa tidak diambil sahaja tindakan ke atas individu dan premis yang menjalankan kegiatan haram tersebut ?

Sepatutnya, kerajaan lebih peka dan bijak menangani isu sosial di kalangan remaja dengan memberi tumpuan ke atas faktor utama penyumbang masalah tersebut. Soalnya, mengapa hanya pusat video sahaja yang menjadi sasaran ? Adakah kerana wujud segelintir pihak yang mendalangi atau melindungi pusat-pusat tersebut atau sebaliknya ? Hal ini jika difikirkan secara akal yang waras, akan menunjukkan bahawa kerajaan sebenar tidaklah serius dalam menangani isu sosial yang berlaku. Tindakan yang hanya ingin mengharamkan pusat-pusat video tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mengaburi mata masyarakat seolah-olah kerajaan kini sudah mengambil langkah yang drastik untuk menangani kemelut gejala sosial, sedangkan semua ini lebih bersifat indah khabar dari rupa.

wan_rija@hotmail.com