WEB BPPNT


Sumber : Malaysiakini

Suhakam terima 268 aduan

'Ein Azmi

7.20pm, SEL: Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia telah menerima 268 aduan daripada individu, pihak kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan sama ada di dalam mahupun di luar negara semenjak penubuhan suruhanjaya itu.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, di bawah Akta 597, tahun 1999 Suhakam merupakan sebuah suruhanjaya bebas mengikut kuasa dan mandat yang diperuntukkan kepadanya.

"Semenjak April 2000 sehingga Oktober 2000, sebanyak 268 aduan diterima," ulas Syed Hamid menjawab soalan lisan ahli parlimen Lim Hock Seng (DAP-Bagan) pagi ini.

Lim dalam soalannya telah meminta menteri itu menyatakan jumlah aduan diterima, daripada siapa serta langkah-langkah siasatan dan susulan yang telah dijalankan oleh suruhanjaya tersebut.

Syed Hamid menyebutkan kepada sidang dewan antara laporan yang diterima oleh suruhanjaya itu ialah perbicaraan kes di mahkamah, penyalahgunaan kuasa, bantahan terhadap Akta ISA dan penggunaannya, hak dan kebebasan bersuara, pelarian dan masalah imigresen serta kebebasan sistem kehakiman di Malaysia.

Beliau menjelaskan Suhakam boleh menyiasat apa-apa perkara dan aduan yang melanggar hak asasi manusia setelah menerima aduan.

Suhakam kemudian akan memaklumkan kepada agensi berkenaan untuk tindakan, jawapan atau meminta maklumat tambahan daripada pengadu atau meminta penjelasan daripada orang yang berkaitan dengan aduan, memanggil pihak-pihak terlibat dengan siasatan sekiranya perlu serta membuat cadangan kepada pihak terlibat, kata Syed Hamid berhubung kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 12 akta penubuhan suruhanjaya itu.

"Suhakam akan membentangkan laporan tahunan kepada parlimen pada sessi 2001," ujar beliau lagi.

Sementara itu Lim dalam sessi soalan tambahannya telah menyentuh pengharaman akhbar tabloid Eksklusif dan majalah Al-Wasilah dan bertanya sama ada Suhakam menerima aduan khusus berhubung perkara itu.

"Bukan tugas saya untuk mengawal selia Suhakam. Kalau jawab nanti Suhakam dikatakan tidak bebas, sama ada mereka hendak membuat atau tidak terpulang kepada mereka," jelas Syed Hamid berhubung soalan tambahan itu.

Beliau juga mengulas bahawa kebebasan bersuara di negara ini bukanlah mutlak tetapi tertakluk kepada undang-undang.


  Kembali ke Laman Utama