WEB BPPNT


Sumber : BPPNT

Tuduhan Kerajaan Pusat bahawa Kerajaan Terengganu menyalahgunakan wang royalti RM 432 juta tidak berasas

Siri 1

Sebuah akhbar harian pada 1 Oktober melaporkan Pengarah BPR menyatakan kesediaan untuk menyiasat penggunaan wang sebanyak RM 432 juta yang diterima oleh Kerajaan Terengganu pada Februari lalu jika menerima laporan berlakunya penyelewengan.

Jawapan di bawah oleh Exco Hisbah dan Tugas-Tugas Khas, YB Tun Dato' Hj Salleh Abas mungkin boleh menjawab dakwaan di atas.

Soalan : Benarkah tuduhan Kerajaan Pusat bahawa kerajaan Negeri Terengganu menyalahgunakan wang royalti yang diterima dalam bulan Februari 2000 sebanyak RM432 juta kerana tidak ada maklumat atau keterangan mengenai program dan penggunaan wang tersebut?

Jawapan : Tuduhan ini amat tidak benar sama sekali. Ia semata-mata dibuat untuk menghuru-harakan kerajaan baru negeri Terengganu dan membutakan rakyat. Tuduhan itu bermaksud menganjur-ngajur kerajaan baru tidak pandai mentadbir dan selekeh.

Walaupun orang-orang yang menerajui negeri bertukar; yang dahulu sudah pergi dan yang baru mengambil tempat mereka. Jentera dan pentadbiran undang-undang masih wujud dan tidak berubah. Mengikut undang-undang dan perlembagaan; tiap-tiap buah negeri mempunyai satu dana wang yang dinamakan Kumpulan Wang Negeri yang disatukan (KWN).

Ke dalam KWN inilah semua wang yang diterima kepada negeri samaa da hasil dan sebagainya dan wang royalti petroleum juga dimasukkan ke dalam KWN bersama-sama wang yang lain.

Mengikut undang-undang dan perlembagaan tidak boleh satu sen dikeluarkan daripada KWN itu melainak perbelanjaan itu dibenarkan oleh undang-undang. Undang-undang itu ialah yang dinamakan enakmen bekalan yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada tiap-tiap akhir tahun untuk membenarkan perbelanjaan wang pada tahun berikutnya.

Jenis perbelanjaan adalah dinyatakan dalam belanjawan yang diluluskan oleh Dewan bersama-sama dengan enakmen ini. Belanjawan mengandungi anggaran hasil dan anggaran perbelanjaan. Di dalam belanjawan juga dinyatakan projek pembangunan yang mesti dibayar oleh kerajaan negeri.

Anggaran perbelanjaan tahun ini ada terkandung dalam belanjawan yang diluluskan pada tahun sudah dan perbelanjaan sebenar boleh didapati daripada Pejabat Pegawai Kewangan Negeri atau Akaintan Negeri, Pejabat Audit Negeri dan lain-lain pejabat berkenaan. Rekod-rekod perbelanjaan itu disimpan oleh pejabat tersebut.

Sekiranya kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa, ini akan ditegur dan disebut oleh Jabatan Audit Negeri.

Jadi, tuduhan yang dibuat oleh kerajaan pusat itu tidak berasas langsung.