Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : BPPNT

Terengganu berhak atas tuntutan royalti minyak

Siri 2

Soalan : Siapakah yang berhak kepada royalti minyak ini; Kerajaan Pusat atau Kerajaan Terengganu?

Jawapan : Royalti minyak adalah hak kerajaan negeri Terengganu yang mesti dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu oleh Petronas, sebabnya :

a. Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyatakan keseluruhannya bahawa hak kepunyaan petroleum sama ada di darat atau di laut adalah terserah (vestal) kepada Petronas dan penyerahan hak kepunyaan ini akan berkuatkuasa apabila surat acara penyerahan telah ditandatangani. Penyerahan ini adalah muktamad tidak boleh ditarik balik dan hak kepunyaan itu adalah menjadi hak kepunyaan Petronas buat selama-lamanya.
b. Sebagai balasan penyerahan ini, Petronas diwajibkan membayar kepada kerajaan persekutuan dan mana-mana negeri yang berkenaan, iaitu negeri dimana petroleum dijumpai dan diusahakan satu jumlah sebanyak yang dipersetujui di antara pihak berkenaan.
c. Surat cara penyerahan hak kepunyaan telah dibuat oleh semua negeri di Malaysia, termasuklah negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bagi negeri Terengganu surat acara itu ditandatangai oleh Menteri Besar Negeri Terengganu pada masa itu sebagai mewakili negeri dan oleh Yang Mulia Tengku Razaleigh bin Tengku Hamzah, selaku pengerusi dan Ketua Ekskutif Petronas. Surat cara penyerahan itu dibuat di Kuala Terengganu pada 22 Mac 1975.
d. Pada hari yang sama dan di tempat yang sama satu perrjanjian ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu mewakili negeri dan oleh Yang Mulia Tengku Razaleigh bin Hamzah mewakili Petronas. Perjanjian ini menetapkan jumlah wang tunai yang mesti dibayar oleh Petronas kepada kerajaan negeri sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang didapati di negeri Terengganu dan dijual oleh Petronas atau agen-agen ataun kontraktor-kontraktornya. Bayaran ini hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh enam bulan pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh enam bulan kedua, iaitu daripada bulan Julai hingga bulan September. Adalah diingatkan bahawa bayaran wang tunai itu tidak diberi nama apa-apa sama ada royalti atau bayaran ihsan.
e. Pada 16 September 1987 Petronas memberi nama bayaran wang tunai ini sebagai bayaran royalti. Ini jelas disebut dalam surat Tan Sri Abdullah bin Muhamad selaku Presiden Petronas kepada yang berhormat Dato' Seri Amar Diraja Menteri Besar Terengganu. Surat ini merakamkan persetujuan di antara Petronas dengan Negeri Terengganu. Bagaimanakah 5% royalti itu dikira atau dihitung. Tajuk surat ini ialah:

Computation rayalty to the Government The State of Terengganu by Petronas for the production of petroleum.

Kesimpulannya, bayaran wang tunai itu ialah satu bayaran yang wajib di buat oleh Petronas sebagai balasan menerima hak kepunyaan petroleum daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Bayaran itu bukan satu bayaran ihsan sebagai belas kasihan atau murah hati Petronas. Bayaran itu diwajibkan apabila petroleum diperolehi di laut negeri Terengganu dan dijual. Sekiranya petroleum diperolehi di laut negeri-negeri lain, seperti Pahang, Johor, Kelantan dan sebagainya, negeri-negeri itu berhak kepada bayaran tersebut kerana tiap-tiap buah negeri ada membuat surat cara penyerahan hak kepunyaan dan juga menandatangani perjanjian 5% bayaran wang tunai. Tetapi Allah Yang Maha Kuasa dan Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang telah memberi berkat kepada negeri Terengganu. Di laut negeri lain tidak dijumpai, tetapi di laut negeri Terengganu petroleum dijumpai.

Satu kesimpulan lain ialah bayaran wang tunai ini ialah bayaran royalti kerana mengikut undang-undang, khususnya amalan perniagaan (commercial usage) , royalti itu ialah satu bayaran yang wajib dibuat oleh penerima hak kepunyaan kepada tuan empunya hak itu. Syarikat-syarikat minyak menggunakan perkataan royalti kepada bayaran yang mereka buat sebagai balasan kepada mana-mana concession yang mereka dapat. Bayaran royalti setakat 5% itu adalah hak kerajaan Terengganu dan rakyat negeri Terengganu dan Petronas wajib membayarnya . Hak kerajaan Terengganu tidak boleh diganggu dan dibolot oleh kerajaan pusat.