WEB BPPNT


Sumber : UM

Sultan Mizan selesai pangku tugas Yang di-Pertuan Agong

KUALA TERENGGANU 10 Okt. - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah hari ini berangkat pulang ke Terengganu dari Kuala Lumpur setelah selesai memangku tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula 14 September lalu.

Sultan Mizan yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta permaisuri baginda tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari dengan menaiki pesawat diraja F28.

Ketibaan baginda sultan dan Permaisuri disambut oleh Menteri Besar, Abdul Hadi Awang dan isteri, Zainab Awang Ngah, kaum kerabat diraja, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, para pembesar negeri serta ketua-ketua jabatan.

Turut mengiringi baginda Sultan Terengganu dan permaisuri serta puteri dan putera baginda, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Muhammad Ismail ialah Pemangku Raja Terengganu, Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus.

Sebelum berangkat pulang ke Terengganu, baginda berdua sempat menghadiri beberapa majlis penghormatan diraja di ibu negara pagi ini.

Sultan Mizan dilantik menjadi Pemangku Yang di-Pertuan Agong sejak 14 September lalu manakala Syed Omar pula dilantik sebagai Pemangku Sultan Terengganu sehari sebelumnya.

Sebelum itu juga, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan isterinya Datin Seri Endon Mahmood, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Pandikar Amin Mulia adalah antara orang kenamaan yang turut berada di lapangan terbang ketika baginda berangkat pulang ke Terengganu.


  Kembali ke Laman Utama