WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Speaker Dewan Rakyat tolak usul royalti minyak

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Usul Ketua Pembangkang, Dato' Fadzil Mohd Noor mengenai isu penarikan balik royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamad Zahir Ismail dengan alasan ia bukan perkara tertentu yang tidak wujud untuk dipertikaikan oleh sesiapa.

Ustaz Fadzil yang juga Presiden PAS berkata, usul di bahawa Peraturan Mesyuarat 18(1) itu adalah perkara tertentu kerana penarikan balik royalti minyak itu merupakan sesuatu pencabulan hak yang boleh menggugat amalan demokrasi negara ini serta sistem Federalisma yang menjadi spesifik.

"Perkara tertentu adalah wujud yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Sebarang tuduhan tidak boleh ditakrifkan di bawah peraturan 18 ini,"kata Zahir di sidang Dewan Rakyat, pagi tadi.

Ahli Parlimen pokok Sena, Mahfuz Omar yang tidak berpuas hati dengan jawapan Zahir yang menyifatkan usul itu bukan perkara tertentu, bangun mengatakan isu royalti minyak merupakan pencabulan dan pelanggaran Kerajaan Pusat terhadap perjanjian antara kerajaan negeri Terengganu dan Petronas.

"Bagaimana perkara yang ada perjanjian tidak boleh dikatakan perkara tertentu," kata Mahfuz.

Bagaimanapun Zahir meminta mereka yang tidak berpuas hati dengan jawapan beliau boleh membawa perkara itu dibawah Peraturan Mesyuarat 43.

Ustaz Fadzil yang juga Ahli Parlimen Pendang, ketika membawa usul itu menyifatkan tindakan kerajaan Pusat menarik balik royalti minyak itu sebagai perbuatan `politik balas dendam' yang amat jijik, menindas dan menzalimi kerajaan negeri Terengganu yang mendapat mandat secara sah serta rakyat Terengganu yang majoriti Melayu dan beragama Islam.

"Keluhuran perlembagaan negara harus di patuhi oleh semua dan pencabulan `ala penjajah' yang dilakukan oleh kerajaan Pusat terhadap kerajaan Terengganu adalah amat dikesali.

"Mereka sewajarnya menerima realiti penolakan majoriti masyarakat Melayu terhadap Umno dan kini berdiri teguh dibelakang Barisan Alternatif (BA)," ujarnya.

Ustaz Fadzil juga menyifatkan usul itu melibatkan kepentingan orang ramai kerana ia akan menghilangkan lagi keyakinan rakyat terhadap pemerintahan, kredibiliti pemimpin negara serta menyempitkan lagi amalan demokrasi serta merampas hak-hak kerajaan negeri Terengganu yang berpegang kepada prinsip keadilan.

"Langkah kerajaan Pusat menubuhkan Jabatan Peringkat Pusat (JPP) serta rangkaian Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) jelas bersifat anti kerajaan negeri dan bertentangan dengan amalan demokrasi," katanya.

Usul ini perlu disegerakan, kata beliau kerana ia menyentuh hal pelanggaran hak asasi yang semakin menjadi-jadi terutama selepas pilihan raya dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa. Katanya kecenderungan pemerintahan untuk terus menafikan hak-hak demokratik adalah amat dikesali dan tidak bertamadun.

Zahir pula ketika menolak usul itu berkata Kerajaan Pusat melalui Perbendaharaan akan meneruskan pemberian wang ehsan Petronas itu kepada negeri Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan bagi memastikan kebajikan rakyat Terengganu, termasuk bekalan air, elektrik, jalan, pendidikan, perumahan dan penempatan semula nelayan.

Usul itu juga kata beliau tidak perlu disegerakan kerana ia boleh dibangkitkan oleh Ahli Parlimen pada bila-bila masa, istimewanya dalam masa sesi belanjawan akan datang.

Katanya perkara seperti itu boleh dikeluarkan oleh pihak pembangkang dan pihak kerajaan akan menjawabnya mengikut pandangan masing-masing.


  Kembali ke Laman Utama