WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Kekerasan satu-satunya jalan usir Zionis - Sheikhul Azhar

KAHERAH, 3 Okt (AFP) - Sheikul Azhar, Shaikh Mohammed Sayed Tantawi, menegaskan bahawa 'kekerasan' adalah satu-satunya jalan yang sesuai bagi umat Islam menghadapi serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Jeruselam baru-baru ini.

Shaikh Tantawi, dalam kenyataannya kepada akhbar pembangkang Mesir, Al Wafd, Ahad lepas, berkata kejadian yang berlaku di masjid Al-Aqsa itu menyokong prinsip 'hanya kekerasan boleh menghalang kekerasan'.

"Kekerasan hendaklah menjadi satu-satunya senjata kita bagi menghadapi Israel," kata Sheikh Al-Azhar itu lagi.

Sejak minggu lalu seramai 26 rakyat Palestin disahkan terbunuh akibat serangan tentera Israel di Jeruselam, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

"Tindakan Israel itu adalah perbuatan jenayah yang diharamkan oleh Syariah dan dikutuk oleh akal yang waras," kata beliau.

"Umat Islam dan bangsa Arab hendaklah saling bergantung dan membantu saudara kita di Palestin bagi menumpaskan musuh mereka," tegasnya.

Shaikh Tantawi juga mengutuk lawatan pemimpin parti Likud Israel, Ariel Sharon ke persekitaran masjid al-Aqsa, yang telah mencetuskan kemarahan umat Islam Palestin.

Katanya lagi, peristiwa pembunuhan umat Islam Palestin itu adalah "bukti bahawa Israel tidak mahu keamanan, hendak memperkuatkan kedudukannya, dan memaksakan hegemoninya ke atas rantau tersebut".