WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Majlis Raja-Raja perlu bincang tuntutan royalti minyak Terengganu

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) -Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mencadangkan Majlis Raja-Raja mengambil bahagian dalam membincangkan isu tuntutan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Ini kerana menurut Pengerusi Teras, Saudara Mohd Azmi Abdul Hamid, tuntutan Kerajaan Persekutuan ke atas sumber asli di luar pesisir pantai bukan sahaja akan memberikan kesan kepada Terengganu tetapi juga melibatkan semua negeri-negeri pesisir pantai di Malaysia.

"Tuntutan tersebut sebenarnya adalah satu usaha Kerajaan Persekutuan meminda had wilayah dan sempadan semua negeri di Malaysia. Mengikut Perkara 2, Perlembagaan Persekutuan, tindakan sedemikian hanya boleh dilakukan dengan persetujuan negeri berkaitan dan setelah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

"Dalam hal ini Majlis Raja-Raja mesti mengkaji dan menimbangkan secara serius langkah yang dibangkitkan oleh Kerajaan Persekutuan tersebut," katanya.

Pengerusi Teras itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dato' Rais Yatim dalam satu wawancara khas bersama TV3 baru-baru ini bahawa petroleum yang dijumpai di Pelantar Benua Terengganu adalah milik Kerajaan Persekutuan.

Dato' Rais turut mengaitkan perkara itu dengan Sabah dan Sarawak yang dikatakan mempunyai hak ke atas pelantar benua masing-masing ketika mereka menyertai Malaysia dan oleh itu mempunyai hak ke atas royalti petroleum.

Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, Sabah dan Sarawak berada pada kedudukan yang sama dengan mana-mana negeri di dalam Persekutuan berhubung hak mereka kepada petroleum yang dijumpai di dalam wilayah mereka.

"Seperti yang dimaklumi sempadan yang membentuk Persekutuan Malaysia meliputi 13 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur dan Labuan. Bagi negeri-negeri persisiran pantai, mana-mana pelantar benua adalah termasuk di dalam lingkungan sempadannya," katanya.

Oleh demikian, kata Azmi, negeri-negeri persisiran pantai seperti Terengganu mempunyai hak berdaulat ke atas pelantar benua untuk tujuan meneroka dan memanfaatkannya.

Katanya, pelantar tersebut akan menjangkau sehingga 200 batu nautika dari pantai terdekat (termasuk dari pantai pulau) dan sehingga 350 batu di bawah keadaan tertentu.

Teras turut membidas hujah-hujah yang dikemukakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim berhubung isu yang sama.

Pertama, Dr. Rais menyatakan bahawa Terengganu adalah negeri yang sudah maju dan tidak lagi memerlukan royalti tersebut.

Kedua, beliau mendakwa bahawa perjanjian di antara antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu yang dimeterai pada tahun 1975 tidak mempunyai asas undang-undang kerana tiada balasan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

Justeru, Mohd Azmi mempersoalkan "Sejak bila Terengganu menjadi negeri maju? Apakah selepas kekalahan BN negeri dalam pilihan raya umum lalu maka Terengganu telah dianggap maju?

Jika Terengganu maju, ujar beliau, mengapa ia diperuntukkan bantuan atas nama Peruntukan Ehsan?.Sepatutnya sebarang bentuk kemiskinan di negeri tersebut boleh dihapuskan melalui bantuan Kerajaan Persekutuan tanpa perlu menggunakan Peruntukan Ehsan yang dikaitkan dengan Royalti Petroleum.

Ujar Azmi, Dr. Rais selaku seorang peguam terlatih tidak memahami atau salah faham terhadap peruntukan Perlembagaan, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan undang-undang antarabangsa.

Persoalan kedua yang ditimbulkan Dato' Rais ialah mengenai perjanjian dengan Petronas.

Sehubungan itu, Azmi melahirkan rasa tidak pasti sama ada Dato' Rais memahami atau tidak, Seksyen 2 dan 4 Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Seksyen 2 dengan jelas memperuntukkan bahawa: "Keseluruhan hak milik, dan hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan kelebihan untuk meneroka, memanfaatkan dan memperolehi petroleum samada di darat atau di pesisiran Malaysia akan diletakkan di dalam sebuah perbadanan yang akan diperbadankan..."

Perbadanan yang diperbadankan tersebut ialah Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS).

Manakala Seksyen 4 memperuntukkan:
"Sebagai balasan kepada hakmilik dan hak, kuasa, kebebasan dan kelebihan yang diberikan kepadanya melalui Akta ini, Perbadanan akan memberikan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkenaan apa-apa pembayaran tunai yang dipersetujui antara pihak-pihak yang terlibat."

Sehubungan itu tegas Azmi, perjanjian yang dimeterai di antara Petronas dan kerajaan negeri Terengganu pada 1975 dibuat berasaskan peruntukan Seksyen 4.

Sambung beliau, bayaran kepada Terengganu ialah sebagai balasan kepada hak yang dilepaskan ke atas petroleum yang dijumpai di dalam wilayahnya termasuk di luar pantai.

"Oleh yang demikian atas asas apakah Dato' Rais menyatakan bahawa perjanjian tersebut tiada asas undang-undang dan Terengganu tiada hak ke atas pembayaran royalti tersebut?Perjanjian yang sama dimeterai di antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak..

"Kerajaan Persekutuan ketika di bawah pimpinan Tun Razak telah menyatakan pengiktirafan terhadap hak tersebut, ini dapat dilihat dari Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan oleh Parlimen.

"Di dalam akta tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa kerajaan negeri diperuntukkan dengan sejumlah bayaran apabila mereka melepaskan hak petroleum mereka kepada Petronas apabila petroleum tersebut dijumpai di dalam wilayah mereka termasuk petroleum yang dijumpai di luar persisir," katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan perlu sedar bahawa keputusannya untuk tidak mematuhi Perjanjian 1975 dan membayar royalti kepada Terengganu mempunyai kesan yang serius.

"Ia boleh membuka jalan kepada ketidakharmonian hubungan di antara Kerajaan Persekutuan-Negeri yang dijamin oleh perlembagaan. Penafian hak Royalti Petroleum kerajaan negeri Terengganu, adalah satu bentuk pencabulan oleh Kerajaan Persekutuan ke atas Seksyen 2 dan 4 Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian 1975."

Beliau menambah, pemansuhan sebelah pihak Perjanjian 1975 oleh Kerajaan Persekutuan akan memberi kesan kepada kredibiliti dan kebolehpercayaannya pada pandangan pelabur.

"Jika suatu perjanjian dengan Kerajaan Negeri yang dilaksanakan lebih 25 tahun lalu dan dipatuhi oleh kedua-dua pihak selama ini boleh dimansuhkan begitu sahaja atas sebab politik, apakah nilai yang boleh diletakkan ke atas komitmen Kerajaan Persekutuan kepada para pelabur?" soal beliau.