WEB BPPNT


Sumber : Malaysiakini

Terengganu bawa isu royalti ke mahkamah

'Ein Azmi

6:30pm, SEL: Kerajaan PAS Terengganu bersetuju membawa isu royalti minyak ke mahkamah sebagai membantah tindakan kerajaan pusat menggantikan kaedah pembayaran itu dengan wang ihsan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia, Mustafa Ali berkata kerajaan negeri bagaimanapun belum menetapkan tarikh kes itu dikemukakan di mahkamah.

"Kita tidak menetapkan time frame (tempoh masa), mungkin lewat kerana (kerajaan negeri) perlu melihat suasana dan beberapa keterangan," kata Mustafa kepada malaysiakini tengahari tadi.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri masih perlu menerangkan kepada sebahagian besar rakyat Terengganu sebelum ia dibawa ke mahkamah.

Mustafa berkata kerajaan negeri juga sedang mengkaji tindakan kerajaan pusat itu kerana ia turut menjejaskan sebahagian besar rancangan pembangunan yang telah dirancang.

Tanpa royalti minyak, Terengganu kehilangan 75 hingga 80 peratus pendapatan tahunan.

Pada awalnya, Terengganu dijangka menerima sebanyak RM810 juta ekoran kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa tahun ini. Negeri itu telah menerima RM432 juta daripada Petronas pada Februari lalu dan bakinya akan digantikan dengan wang ihsan yang disalurkan melalui Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP).

Tambah Mustafa, wakil-wakil rakyat parti pembangkang turut membahaskan isu tersebut di Dewan Rakyat kini sebagai menghadapi tekanan kerajaan pusat itu.

Dalam sidang semalam, Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Mohd Noor berkata "ehsan" sepatutnya diberikan sebagai sokongan selepas menunaikan tanggungjawab, dan bukannya menafikan hak negeri itu.

Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin semasa membentangkan Belanjawan 2001 di Dewan Rakyat Jumaat lalu mencabar PAS agar membawa isu wang ihsan ke mahkamah.

'Batal dan tidak sah'

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim pula dilaporkan berkata perjanjian kerajaan Terengganu dengan Petronas dianggap "batal dan tidak sah" apabila kerajaan pusat memutuskan untuk memperkenalkan kaedah wang ehsan.

Kerajaan PAS dan pembangkang sering berhujah kaedah pembayaran baru itu tidak sah kerana perjanjian yang dibuat antara syarikat petroleum itu dengan Terengganu mensyaratkan pembayaran royalti dibuat secara tunai kepada kerajaan negeri. [K'jaan pusat tiada hak hapus royalti T'ganu, 11 Okt]

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Terengganu, Zahari Mohamad menjawab tuduhan Umno negeri itu yang mendakwa wang royalti telah diselewengkan oleh kerajaan PAS itu.

"Wang itu (royalti minyak) dimasukkan ke dalam tabung yang disatukan (consolidated fund). Sesudah (akaun) diaudit (setiap tahun) baru boleh dikatakan menyeleweng atau tidak," ulas beliau berhubung dakwaan tersebut.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UmnoTerengganu, Datuk Idris Jusoh dilaporkan berkata beliau akan membongkar penyalahgunaan royalti minyak.

Idris mendakwa wang royalti sejumlah RM432 juta "tidak sepenuhnya memberi manfaat kepada rakyat negeri itu."

Akhbar Utusan Malaysia Sabtu lalu mendakwa kerajaan PAS Terengganu telah menyalahgunakan wang royalti, termasuk aktiviti pembalakan di negeri itu.

Bagaimanapun Zahari menyelar kenyataan Umno itu, sambil menyebut sekiranya kerajaan negeri menerima maklumat berhubung penyelewengan aktiviti pembalakan, siasatan akan dijalankan.

Pemimpin PAS itu juga berkata Umno sengaja mereka-reka cerita dan mendakwa perkara itu sebenarnya berlaku semasa zaman Barisan Nasional.


  Kembali ke Laman Utama