WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Program Rais anjuran Umno

"Surat jemputan ditandatangani oleh Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu" - SUK Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Hrkh) - Tembelang pemimpin Umno hari ini terpecah lagi apabila media miliknya sendiri menyiarkan kenapa pentadbiran kerajaan negeri Terengganu melarang kakitangannya menyertai program penerangan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim.

Menurut sebuah akhbar harian hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mazlan Hashim berkata, tindakan pentadbiran negeri Terengganu melarang kakitangannya menyertai majlis tersebut kerana jemputan kepada kakitangan kerajaan negeri dibuat oleh Umno.

Surat itu, kata Mazlan ditandatangani oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Ismail Said dan ia dikira urusan parti bukannya urusan kerajaan.

"Surat yang ditandatangani Dato' Ismail dengan kepala surat Umno sampai kepada kakitangan kerajaan negeri pada 24 Oktober lalu.

"Kenapa berselindung di sebalik parti, kenalah buat cara telus dan kalau dibuat dengan cara yang betul (bukan sebab parti), saya akan arah semua pegawai dan kakitangan menghadirinya termasuklah saya sendiri," tegas beliau.

Baru-baru ini, Timbalan Setiusaha Kerajaan Negeri Terengganu telah mengeluarkan arahan agar kakitangan kerajaan negeri tidak menyertai majlis penerangan yang diberikan oleh Rais Yatim itu.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas arahan tersebut menyifatkan PAS Terengganu bimbang dan tidak yakin dengan penerangan yang dibuat mereka mengenai isu royalti minyak sehingga menyekat versi lain dari kerajaan Pusat.

"Mereka bimbang jika pegawai-pegawainya mendengar penerangan yang diberi oleh menteri Pusat, nanti mereka terpengaruh dan memihak kepada pandangan tersebut," kata Abdullah yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Dengan penjelasan Mazlan bahawa surat jemputan itu dikeluarkan oleh Umno jelas bahawa tuduhan Timbalan Presiden Umno itu berdasarkan andaian semata-mata.


  Kembali ke Laman Utama