WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Terengganu adakan MOU dengan syarikat luar

Oleh Kamarudin Mat Akib

KUALA TERENGGANU, 31 Okt (Hrkh)- Kerajaan Terengganu akan memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat luar negara bagi membuat kajian mengenai kemungkinan untuk mengeluarkan minyak dari kawasan pesisiran pantai dan daratan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Haji Wan Mutalib Embong, berkata kerajaan negeri akan meneruskan juga cadangan itu walaupun ada pihak mengatakan tindakan itu tidak boleh dilakukan kerana ia berada di bawah bidang kuasa Petronas.

Beliau berkata, walaupun kemungkinan tindakan itu membelakangkan undang-undang ia akan diteruskan kerana Kerajaan Pusat juga tidak mengiktiraf undang-undang yang telah ditetapkan.

"Jika apa saja penemuan petroleum adalah hak Petronas, mengapa Kerajaan Pusat masuk campur (isu bayaran royalti petroleum) Biar Petronas kendalikan sendiri (bayaran royalti)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim, bahawa Kerajaan Terengganu tidak mempunyai hak di segi undang-undang terhadap penguasaan seluruh hasil petroleum dan berkaitan dengannya jika ia ditemui di perut bumi negeri itu.

Dalam laporan akhbar hari ini, beliau berkata semua pemilikan perlombongan berkaitan dengan petroleum terletak di bawah kuasa Kerajaan Pusat melalui Petronas.

Wan Mutalib berkata, Petronas tidak boleh menjadi kerajaan dan badan itu hanya boleh bertindak berdasarkan akta penubuhannya.


  Kembali ke Laman Utama