WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Terengganu ragu kenyataan Ku Li

KUALA TERENGGANU, 1 Nov (Hrkh)-Kerajaan Terengganu ragu dengan kenyataan bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaleigh Hamzah yang menyentuh kedudukan isu royalti petroleum seperti disiarkan dalam media arus perdana hari ini.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Zahari Mohamad, berkata ini kerana kenyataan Ku Li terlalu lewat dan dilakukan setelah sekian lama isu tersebut diperbincangkan.

"Kerajaan negeri berpendapat kenyataan itu mungkin bukan daripada Ku Li sendiri, tetapi beliau menerima tekanan daripada pihak yang lebih tinggi kedudukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ku Li kononnya Terengganu tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang yang disalurkan selama ini walaupun atas nama royalti minyak, sebenarnya ia bukanlah hak Kerajaan Terengganu.

Dalam laporan akhbar hari ini beliau dilaporkan berkata semasa Petronas ditubuhkan telah dijumpai di kawasan yang berada di luar "wilayah" mereka.

Zahari berkata, kenyataan itu tidak berasas sama sekali kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang dimeterai antara Kerajaan Terengganu dan Petronas sebelum ini di mana ganjaran berupa royalti perlu dibayar kepada kerajaan negeri.

"Tindakan yang dilakukan Kerajaan Pusat dalam mengendalikan pemberian wang royalti kepada kerajaan negeri menafikan hak rakyat Terengganu yang telah memilih PAS untuk memerintah negeri ini," ujarnya.


  Kembali ke Laman Utama