Make your own free website on Tripod.com

WEB BPPNT


Sumber : Mahafiraun2020

Royalti Minyak, Demokrasi dan Hak Asasi Terengganu

Ringkasan Ucapan Dr Syed Husin Ali dalam “Munaqasyah Royalti Minyak” Anjuran Kerajaan Terengganu di Kuala Terengganu pada 21hb Oktober 2000:

Tindakan zalim Kerajaan BN Pusat menyekat royalti minyak ke Terengganu menunjukkan ia tidak menghormati keputusan rakyat yang dinyatakan melalui pilihanraya. Sekaligus pucuk pimpinan BN mahu mendera rakyat Terengganu. Deraan ini tidak dikenakan ke atas rakyat Sabah apabila mereka memilih PBS untuk berkuasa dulu. Ini ialah kerana Pusat mempunyai perjanjian yang istimewa dengan Sabah. Tetapi lebih penting, PBS tidak boleh mengancam kejatuhan UMNO-BN sebagaimana yang boleh dilakukan oleh PAS-BA.

Sebenarnya, tindakan ke atas royalti minyak ke Terengganu ini ialah tindakan politik Dr Mahathir untuk menyekat perkembangan PAS-BA. Beliau tahu bahawa jikalau diselenggara dengan baik, wang royalti itu boleh digunakan untuk projek-projek pembangunan yang betul-betul menguntungkan golongan miskin dan sederhana di Terengganu. Dengan demikian akan timbul satu model bagaimana hasil negara boleh digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat ramai dan bukannya untuk kekayaan segelintir orang yang rapat dengan pucuk pimpinan yang berkuasa saja.

Terengganu mempunyai pendapatan per-kapita yang kedua tertinggi (kira-kira RM20,000) di Malaysia, selepas Wilayah Kuala Lumpur. Pada ketika yang sama kadar kemiskinan Terengganu (kira-kira 17.5 peratus) ialah yang kedua tertinggi, selepas Sabah. Akhir-akhir ini sesetengah stesen TV menunjukkan kemiskinan masih wujud di Terengganu dan cuba menyalahkan pemerintahan yang belum setahun jagung itu. Tetapi apakah yang dibuat oleh kerajaan BN yang menerima royalti minyak sejak tahun 1978?

Mengikut anggaran, sehingga 1999 kerajaan BN Terengganu telah menerima royalti berjumlah kira-kira RM7,000 juta (tujuh bilion). Ke mana pergi wang sebanyak itu? Besar manakah bahagian royalti ini digunakan untuk membantu orang miskin? Berdasarkan kadar kemiskinan 17.5 peratus dan bilangan penduduk Terengganu seramai kira-kira satu juta, bererti jumlah orang miskin di sana ialah lebih kurang 175,000.

Kalaulah kita umpamakan hasil royalti minyak ke Terengganu selama ini yang berjumlah RM7 bilion itu dibagi-bagikan kepada semua orang miskin di negeri itu, maka bererti seorang boleh mendapat RM40,000. Jikalau satu keluarga mengandungi 5 orang, bererti keluarga itu boleh mendapat RM200,000. Memang benar wang minyak itu tidak akan diagih-agihkan secara begitu. Tetapi berapa banyakkah yang telah dibelanjakan untuk kemudahan sosial, seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan bagi golongan miskin atau berpendapatan rendah itu?

Saya tidak mempunyai angka yang tepat. Akan tetapi saya percaya jumlah yang dibelanjakan untuk golongan miskin itu lebih kecil daripada perbelanjaan untuk projek-projek membina bangunan-bangunan hebat di dalam Terengganu dan melabur di luar Terengganu, yang kebanyakannya tidak mendatangkan faedah ekonomi yang banyak. Sudahlah royalti minyak tidak dibelanjakan dengan bijak, kita dapati pula pemerintahan BN Terengganu meninggalkan bebanan hutang sebanyak RM700 juta kepada rakyat? Sepatutnya dengan royalti minyak itu hutang kepada Pusat patut sudah dilangsaikan.

Sehingga 1999, kerajaan BN Terengganu semata-mata mengikut teladan pucuk pimpinan mereka di peringkat pusat. Ada anggaran yang menyatakan bahawa nilai bersih pendapatan daripada minyak dan gas yang diperolehi PETRONAS serta semua harta dan pelaburan ialah kira-kira RM300 bilion. Seandainya RM100 bilion digunakan untuk mendirikan rumah murah berharga RM25,000 sebuah, kita boleh mendirikan 4 juta buah rumah. Ini lebih cukup daripada jumlah rumah yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah perumahan bagi golongan orang miskin. Jikalau kita hendak dirikan universiti yang berharga RM1 bilion sebuah, kita boleh mendirikan 100 buah universiti.

Sebaliknya pucuk pimpinan kerajaan BN Pusat banyak membelanjakan wang PETRONAS ini untuk membina projek mega, menyelamatkan sanak-saudara dan suku sakat pucuk pimpinan kerajaan yang syarikat mereka miliki hampir nazak, dan juga berspekulasi di pasaran saham antarabangsa. Barangkali ini adalah salah satu sebab mengapa kira-kira terkini menunjukkan nilai bersih PETRONAS tinggal kurang daripada RM50 bilion. Ke manakah yang lain telah melayang? Memang pucuk pimpinan BN ini sentiasa ghairah berbelanja untuk projek-projek gergasi yang membazir dengan wang PETRONAS.

Pimpinan kerajaan BN di peringkat negeri Terengganu telah mengikut teladan buruk pucuk pimpinan BN Pusat itu. Perlu ditegaskan di sini bahawa golongan miskin itu boleh dianggap sebagai golongan yang tidak mendapat hak asasi dari segi pendapatan, makanan atau pakaian yang cukup dan juga kemudahan pendidikan, kesihatan dan perumahan yang murah serta memuaskan. Apabila wang royalti minyak bagi negeri dan pendapatan minyak yang dihasilkan oleh PETRONAS tidak digunakan sepenuh-penuhnya untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah, bererti golongan ini tidak diberi hak asasi mereka.

Kerajaan PAS-BA di Terengganu telah berancang untuk menggunakan wang royalti terutama bagi golongan miskin. Itu sebab mereka telah mula memansuhkan cukai pintu serta tol jalan dan menaikkan bantuan kebajikan orang miskin dan juga elaun bagi imam. Rancangan sedang dibuat untuk memberi bantuan yang lebih kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah dengan tidak mengira kaum atau keturunan. Pucuk pimpinan BN tidak mahu kerajaan Terengganu yang baru ini mempunyai wang untuk melaksanakan semua ini. Demi kepentingan politik dan kuasa mereka, pucuk pimpinan BN pusat ini sanggup menafikan hak asasi rakyat dan memperlekehkan keputusan rakyat yang telah dibuat melalui proses demokrasi.

Satu perkara lagi yang perlu disentuh ialah penukaran royalti menjadi ihsan menggugat Sistem Persekutuan (Federal) yang telah disetujui sejak Perjanjian Persekutuan pada tahun 1948. Mengikut sistem ini ada pembahagian tanggungjawab dan kuasa tentang berbagai-bagai perkara. Salah satu daripadanya ialah mengenai tanah. Mengikut Perlembagaan Persekutuan tanah adalah di bawah kuasa negeri. Konsep tanah biasanya meliputi segala yang di dalam dan di atas bumi (termasuk sungai dan laut).

Hakikat ini dihormati apabila PETRONAS membuat perjanjian dengan kerajaan Negeri Terengganu. Itu sebab, untuk mendapatkan hak mengusahakan pengeluaran minyak, PETRONAS bersetuju memberi bayaran tunai sebanyak 5 peratus daripada hasil yang diperolehi kepada negeri Terengganu, yang diiktiraf dalam perjanjian serta surat-menyurat terkemudian sebagai royalti. Perjanjian yang telah dibuat adalah berasaskan Akta Petroliam dan Galian yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1975.

Dengan menukar royalti menjadi ihsan, memberhentikan bayaran kepada kerajaan Terengganu, dan tidak memenuhi bayaran secara tunai, Kerajaan BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir, tidak menghormati perjanjian yang terjalin di antara kerajaan Terengganu dengan PETRONAS, bahkan memperkecilkan kuasa Parlimen yang telah meluluskan Akta Petroliam itu. Sekarang ini memang banyak kuasa negeri ke atas tanah yang telah diambil oleh Pusat. Akan tetapi, tindakan Dr Mahathir terhadap royalti minyak ini nampaknya mengatasi segala-galanya. Selepas menyekat royalti minyak di Terengganu, Dr Mahathir merancang untuk mengambil tanah negeri Selangor di kawasan Putrajaya pula untuk dijadikan kawasan Persekutuan. Nampaknya, bagi Dr Mahathir segalanya boleh belaka. Banyak orang berpendapat Dr Mahathir sudah menguasai mahkamah serta kehakiman, dan mengikut mereka mudah saja bagi beliau mendapat kemenangan sekiranya kes royalti ini dibicarakan dalam mahkamah.

Begitu juga Dr Mahathir menguasai hampir sepenuhnya media massa untuk menjalankan propaganda yang dikehendakinya. Ruang bagi parti-parti pembangkang untuk memberi penerangan melalui ceramah bertambah sempit kerana pihak polis diarah dari atas supaya jangan mudah memberikan permit. Sekarang ini pasukan polis pun sudah mulai kehilangan sifat profesionalnya dan semakin tunduk kepada telunjuk pucuk pimpinan kerajaan BN Pusat.

Saya sangat bimbang bahawa sekarang ini kita sedang melihat, secara perlahan tetapi pasti, kemunculan pemerintahan kuku besi yang kuasanya semakin bertumpu kepada seorang pemimpin. Saya bimbang apa yang berlaku dengan royalti minyak di Terengganu itu ialah percubaan pemimpin tersebut mahu menguji ketajaman kuku besinya yang dianggap sudah kuat. Dengan berbuat demikian beliau berharap akan dapat memusnahkan satu golongan yang boleh mencabar kuasanya. Ini ialah tindakan politik yang kejam. Ia tidak mengira apakah akibatnya terhadap hak asasi dan demokrasi di negeri ini.

Parti Rakyat Malaysia
23 Oktober 2000

http://mahafiraun.tripod.com


  Kembali ke Laman Utama