WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Hapus royalti minyak: Tanda kesombongan Umno

Oleh Johari Jaafar

KUALA KANGSAR, 24 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Kerajaan Pusat menghapuskan pembayaran royalti minyak dan digantikan dengan wang ehsan sebagai tanda kesombongan Umno.

Katanya, sikap itu kian memuncak kepada pembangkang terutama apabila negeri yang kaya dengan hasil minyak terlepas dari cengkaman Umno, menyebabkan pimpinan negara hilang pertimbangan seterusnya menunjukkan keangkuhan.

"Kita percaya tindakan itu merupakan siri kezaliman dan kesombongan Umno, bukannya menunjukkan kekuatan parti itu, keangkuhan Umno akan membawa kepada kehancuran parti mereka," tegas beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 35,000 orang dalam satu ceramah tentang penjelasan isu royalti minyak di perkarangan Markaz PAS Kuala Kangsar anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Perak semalam.

Menurut beliau, Umno kian tertekan apabila sokongan orang Melayu kepada parti itu kian merosot, tambahan pula negeri yang kaya dengan hasil minyak dapat pula ditawan oleh PAS.

"Pemimpin-pemimpin Umno sakit hati bila melihat negeri yang kaya jatuh ke tangan pembangkang, kerana itu pelbagai cara dibuat untuk melemahkan Kerajaan Terengganu di bawah kekuasaan PAS," katanya.

Ujar beliau, Umno tidak mahu melihat negeri `kesayangan' mereka menjadi milik PAS, malah parti itu tentunya mahu melihat Kerajaan PAS di Terengganu tumbang dalam tempoh yang singkat.

Justeru itulah isu pemberian royalti minyak ditimbulkan semula kononnya ia adalah pemberian ihsan, bukannya satu peraturan yang telah ditetapkan melalui perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas, tambah beliau.

Pemimpin-pemimpin Umno menyedari sekiranya pemberian royalti minyak secara tunai oleh Petronas kepada Kerajaan PAS Terengganu akan menyebabkan Kerajaan Negeri bertambah kuat dan mempunyai dana kewangan yang banyak untuk membolehkan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

"Wang ihsan sebagai ganti royalti minyak merupakan satu antara perancangan yang sengaja dibuat untuk melihat Kerajaan Terengganu menjadi lemah, akhirnya tidak boleh bertahan lama.

"Tekanan ini tidak melemahkan semangat kita, sebaliknya semakin ditekan kita akan bertambah kuat, Umno pula akan menuju kehancuran kerana kesombongan parti itu sendiri," tegasnya lagi.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Sabran Asmawi, pimpinan PAS Negeri, Pengerusi DAP Perak, wakil Parti KeAdilan Nasional peringkat negeri dan bahagian serta wakil-wakil rakyat daripada PAS dan Barisan Alternatif.


  Kembali ke Laman Utama