WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Kerajaan Pusat perlu dipertanggungjawab

Kamarudin Mat Akib

Kuala Terengganu, 24 Okt (Hrkh) - Arahan Kerajaan Terengganu supaya projek pembangunan yang dirancang di negeri ini dikaji semula sesuai dengan amalan berjimat cermat yang diamalkan sekarang, kini meresahkan sesetengah pihak di negeri ini.

Kini telah terbukti bukan saja rakyat yang rugi akibat tindakan Kerajaan Pusat merampas hak kerajaan dan rakyat Terengganu iaitu bayaran royalti petroleum, tetapi juga kontraktor Bumiputera.

Justeru itu, tidak hairanlah jika Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Roslan Awang Kechik, kecewa dengan keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan sebahagian projek-projek yang telah dirancang di Terengganu sebelum ini setelah timbul isu royalti petroleum.

Langkah tersebut perlu dilakukan bagi memastikan pentadbiran negeri ini terus berjalan lancar dan gaji pegawai dan kakitangan kerajaan dapat dibayar.

Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini, Roslan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, berkata penangguhan projek pembangunan di Terengganu pasti akan membawa kesan kepada ramai kontraktor di negeri ini, terutama yang memiliki lesen kelas F.

Dalam hal ini, beliau sepatutnya tidak menyalahkan Kerajaan Terengganu yang membuat keputusan bijak untuk berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan kewangan.

Beliau sepatutnya merayu kepada Kerajaan Pusat supaya mengembalikan hak kerajaan dan rakyat Terengganu dengan cara menyalurkan semula bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri seperti yang dilakukan sewaktu pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.

Pemerhati politik berpendapat itulah cara terbaik yang wajar dilakukan oleh pemimpin kontraktor tersebut bagi memastikan projek pembangunan dapat diteruskan di negeri ini.

Kerajaan negeri terpaksa meminta semua jabatan kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan prestasi pungutan hasil dan merangka perolehan punca hasil yang lebih berbagai, bagi mengurangkan masalah aliran tunai serta defisit perbelanjaan.

Pekeliling Pejabat Kewangan Negeri Bil. 3 Tahun 2000 bertarikh 18 Oktober, menyebut langkah-langkah segera dan berkesan juga perlu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan kurang perlu serta mengamalkan dasar jimat cermat agar baki peruntukan yang disediakan sentiasa berimbang dan mencukupi hingga akhir tahun.

Menurut pekeliling itu yang ditandatangani Pegawai Kewangan negeri, Dato' Ku Abd Azah Syed Alwee, kerajaan negeri memutuskan untuk menilai semula peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun semasa dan bersetuju supaya kawalan perbelanjaan dipertingkatkan bersekali dengan arahan berjimat cermat.

"Sebagaimana yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini bahawa bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri tidak akan diteruskan sebaliknya diganti dengan Batuan Wang Ihsan yang akan disalurkan melalui projek-projek pembangunan.Keadaan ini akan memberi kesan yang amat negatif terhadap perolehan hasil negeri di mana selama ini punca utama hasil negeri adalah dari royalti petroleum yang meliputi 75 peratus dari jumlah hasil. Sehubungan dengan itu, perolehan hasil dari punca negeri adalah dianggarkan sebanyak RM162.18 juta sahaja, termasuk RM47.0 juta geran dari Kerajaan Pusat.Manakala peruntukan yang diperlukan bagi Emolumen (Gaji dan Elaun Tetap) sahaja adalah sebanyak RM140 juta setahun bagi Waran Perjawatan Negeri sahaja dan belum mengambil kira Institusi Pendidikan, Badan-Badan Berkanun dan PBT," katanya.

Dalam hal ini, siapa pun yang diberi mandat untuk memerintah negeri ini terpaksa mengambil tindakan yang serupa setelah sumber kewangan mereka dirampas dengan cara yang tidak bermaruah.


  Kembali ke Laman Utama