WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

PAS tidak akan bawa kes royalti ke mahkamah


"Jangan paksa bawa ke tempat
yang mereka juga berkuasa"
- Fadzil Noor

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Fadzi; Mohd Noor menegaskan, PAS tidak akan membawa kes royalti minyak untuk kerajaan negeri Terengganu ke mahkamah.

"Kita tidak perlu membawa perkara itu ke mahkamah. Kita mahu kerajaan lebih telus, beramanah dan menghormati perjanjian serta bermoral, bukannya menggunakan kuasa untuk pergi ke satu tempat di mana mereka juga berkuasa," katanya.

Fadzil berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku di sessi perbentangan Belanjawan 2001 di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, kekecohan yang berlaku bukan dari perancangan tetapi berlaku akibat dari pandangan ahli-ahli Parlimen PAS yang menyifatkan kenyataan Tun Daim ketika berucap mengenai royalti itu bohong.

Ketika Tun Daim berkata, pemberian wang ihsan akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) dibantah oleh ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi dan mengeluarkan perkataan bohong terhadap Daim.

Perkataan `bohong' itu kemudiannya diikuti oleh ramai ahli Parlimen PAS yang lain yang menyebabkan dewan menjadi kecoh seketika.

Menurut Fadzil, pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Terengganu adalah jelas dan ia sama sekali bukanlah wang ihsan kerana di dalam perjanjian mengenainya ia jelas royalti.

Semalam Daim membentangkan Belanjawan 2001 dengan anggaran sebanyak RM91.05 bilion.


  Kembali ke Laman Utama