WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Isu wang ehsan tidak perlu ke mahkamah - Nik Aziz

KOTA BAHARU, 28 Okt (Bernama) -- Isu pemberian wang ihsan oleh kerajaan pusat kepada Terengganu tidak perlu dibawa ke mahkamah, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata jika terdapat usaha untuk membawa isu itu ke mahkamah, ianya tidak akan memberi banyak perubahan.

"Sistem mahkamah di negara kita telah banyak menimbulkan keraguan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan khas rakyat sempena perayaan 10 tahun (sejak 1990) Dasar Membangun Bersama Islam di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan anggota-anggota Parlimen PAS yang mengganggu kelancaran pembentangan Belanjawan 2001 oleh Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin di Dewan Rakyat semalam, berhubung pemberian wang ihsan kepada Terengganu.

Daim meminta mereka yang menentang pemberian wang ihsan itu supaya membawa perkara itu ke mahkamah.

Nik Aziz berkata bukan sahaja kerajaan PAS Terengganu tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan itu, kerajaan Pas Kelantan juga akan marah sekiranya isu itu terkena kepada negeri ini.

"Ianya berpunca dari wang ihsan, kalau kena kepada Kelantan, Kelantan pun marah, ada perjanjian tiba-tiba perjanjian itu diubah menjadi MOU (memorandum persefahaman), itu tidak boleh diterima akal," katanya.

Beliau berkata Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa terhadap tindakan Kerajaan Pusat itu khususnya untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Terdahulu ketika berucap, Nik Aziz berkata kini kehidupan rakyat lebih aman dan harmoni hasil daripada tindakan kerajaan negeri Kelantan mengharamkan pusat-pusat hiburan dan perjudian sejak memerintah negeri itu pada 1990.

Beliau berkata, ini berikutan hasil pendapatan para suami digunakan untuk keluarga tidak seperti sebelum ini yang banyak dihabiskan di pusat hiburan dan perjudian hingga merosakkan rumah tangga.


  Kembali ke Laman Utama