WEB BPPNT


Sumber : Bernama

TITREX 2000 beri peluang usahawan meneroka pasaran baru

KUALA TERENGGANU, 26 Okt (Bernama) -- Pameran Pelaburan dan Perdagangan Terengganu (Titrex 2000) yang akan diadakan selama lima hari mulai 12 Nov depan dijangka mampu memberi peluang kepada usahawan tempatan meneroka pasaran baru sama ada di peringkat domestik atau global.

Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail berkata penganjuran Titrex 2000 juga merupakan usaha untuk mengembalikan kegemilangan perdagangan yang bertapak di Terengganu pada zaman lampau.

Beliau berkata sudah tercatat dalam sejarah, Terengganu sejak abad ke-19 yang ketika itu dikenali sebagai "Birmingham of the Peninsular" berikutan kegiatan dan kegemilangan aktiviti keusahawanan dan perdagangannya.

Bagi mengembalikan kegemilangan dunia keusahawanan itu, Terengganu kini berusaha mengumpul dan menemukan pelbagai produk usahawan negara khususnya usahawan Terengganu dengan pedagang luar melalui Titrex 2000, katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Menurutnya Titrex 2000 yang lebih menjuruskan kepada pertemuan antara pembeli dan pengeluar dijangka dapat memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan mempamer dan mempromosikan aktiviti perniagaan masing-masing kepada pelabur asing seperti dari Eropah dan Amerika.

Mengenai Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Wan Nawawi berkata TTC yang sebelum ini dikenali Kompleks Planetarium, mempunyai galeri pameran serta ruang untuk program konvensyen, mesyuarat atau majlis keramaian.

Beliau berkata TTC yang merupakan galeri terbesar di pantai timur yang dibina dengan kos RM6 juta, dan mempunyai keluasan 4,110.2 meter persegi, akan dirasmikan Menteri Besar Abdul Hadi Awang pada 12 Nov ini serentak dengan perasmian TITREX 2000.

Wan Nawawi berkata TITREX 2000 mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM2,000 dengan potongan 20 peratus kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan setakat ini sebanyak 50 penyertaan sudah diterima.


  Kembali ke Laman Utama