WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Terengganu temui lokasi baru minyak - MB

KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata hari ini lokasi baru sumber petroleum dikesan di persisir pantai dan tanah daratan negeri ini.

Beliau berkata berikutan penemuan itu Kerajaan Negeri dijangka memperolehi hasil lebih besar tidak lama lagi.

Hadi berkata hasil kajian awal mendapati lokasi di laut itu dikesan terletak di bahagian utara dan tengah pesisir pantai negeri ini yang dianggarkan sejauh lebih 200 kilometer.

"Di tanah daratan sumber itu dikesan di daerah Besut dan Dungun yang berpotensi untuk dimajukan dan menjadi milik kerajaan negeri sepenuhnya.

"Kalau (Kerajaan) Pusat kata di luar pantai itu haknya, apa sahaja pengeluaran yang diusahakan sepanjang pesisir pantai dan daratan akan menjadi milik kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah syarikat untuk meneliti kemungkinan menjalankan penerokaan dan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan mengenai hasil kajian awal tentang kadar simpanan sumber itu serta tempoh ia mampu mengeluarkan hasil kepada kerajaan negeri.

Beliau juga mendakwa sudah ada syarikat asing yang berminat untuk menjalankan usahasama meneroka lapangan minyak dan gas itu nanti. "Bila kita tahu kadar simpanan sumber itu, perbincangan dengan syarikat asing yang berminat itu akan dimulakan dan akan dimaklumkan kepada umum apabila tiba masanya," kata beliau.

Abdul Hadi berharap semua kajian terhadap pelaksanaan pembangunan industri itu dapat dimulakan secepat mungkin tetapi tidak dapat menjangka bila ia akan dimulakan.

Bagaimanapun beliau berkata, semuanya masih di peringkat awal dan perbincangan dengan pihak berkenaan akan diteruskan. Hadi juga membayangkan bahawa nilai simpanan sumber itu adalah banyak dan mampu membawa perubahan kepada masa depan kerajaan negeri selepas tidak lagi diberikan "wang royalti minyak" oleh Kerajaan Pusat.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri akan mempelbagaikan sumber hasil termasuk memajukan perlombongan emas di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti berikutan tindakan Kerajaan Pusat untuk tidak lagi membayar wang kepada kerajaan negeri tetapi menggantikannya dengan wang ihsan yang akan disalurkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan.


  Kembali ke Laman Utama