WEB BPPNT


Sumber : Warta 10

RM25 juta bantuan miskin tahun 2001

Kuala Terengganu : Pengeruis Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan, Haji Abu Bakar Abdullah berkata, Kerajaan Negeri akan membelanjakan kira-kira RM25 juta pada tahun 2001 sebagai bantuan kepada penerima bantuan am.

Ini termasuk penerima yang sedia ada berjumlah 15,322 orang dan ditambah dengan 4,000 orang yang tersisih semasa pemerintahan kerajaan lalu.

Katanya, perangkaan itu berdasarkan jumlah penerima bantuan kebajikan yang terlibat dengan proses pemutihan seramai 1,492 daripada 16,814 penerima bantuan pada Mei lalu.

Beliau berkata, jumlah kes diberhentikan bantuan am mengikut daerah ialah 832 di Kuala Terengganu, 272 (Besut), 232 (setiu), 56 (Hulu Terengganu), 45 (Marang), 43 (Kemaman) dan 12 (Dungun).

Katanya, antara kriteria dasar pemutihan bantuan am ialah kedudukan sosial ekonomi dan pendapatan diri atau keluarga telah melebihi garis kemiskinan, anak penerima bantuan telah mendapat pekerjaan dan mendapat pendapatan yang baik.

Sokongan

"Dengan lain perkataan, anak-anak yang tinggal bersama atau tinggal berasingan mempunyai pendapatan tetap iaitu RM1,000 ke atas terdiri daripada pegawai kumpulan A atau yang setaraf di sektor swasta atau yang bekerja dalam kumpulan sokongan atau yang setaraf berpendapatan RM700 ke atas, atau anak-anak yang bekerja sendiri dengan pendapatan yang baik," katanya.

Selain itu ibu tunggal yang telah berkahwin dan suami yang mempunyai pendapatan yang baik, penerima bantuan yang telah mendapat bantuan Felda atau Felcra, mempunyai harta atau aset yang baik dan dapat menampung keperluan keluarga.

"Kriteria lain ialah menunaikan ibadah haji, orang-orang yang sakit yang sudah pulih dan sudah boleh bekerja semula, isteri banduan yang suaminya telah tamat penahanan atau pemulihan yang telah kembali kepada keluarga."

"Orang-orang tua yang telah dikesan mempunyai harta pendapatan dan anak-anak mereka mempunyai pendapatan yang baik dan mampu menanggung, orang cacat atau kurang upaya yang dikesan mempunyai harta pendapatan yang cukup dan kedudukan anak-anak mereka yang mampu membantu dan menanggung mereka," jelasnya lagi.

"Di samping itu, katanya orang yang mempunyai pekerjaan tetap dan mendapat pencen dan pampasan serta lain-lain harta yang diperolehi semasa tempoh menerima bantuan dan pendapatan tersebut melepasi garis kemiskinan.

Semua maklumat yang diperolehi adalah dari sumber yang jelas dan sah seperti dari anak keluarga sendiri dan mereka yang terlibat di mana mereka yang menepati kriteria ini ditamatkan pemberian bantuan.

Tegasnya, kerajaan tidak bertindak sesuka hati untuk menamatkan pemberian bantuan tetapi ianya dilakukan secara telus, beramanah dan bertanggungjawab.


  Kembali ke Laman Utama