WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Tindakan Pusat sekat hak Terengganu akan dipersoal mahkamah rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Hrkh) -Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) melihat kemelut royalti minyak di antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri Terengganu serta Petronas, perlu diselesaikan segera supaya kredibiliti Kerajaan Pusat tidak dipersoalkan oleh mahkamah rakyat.

Timbalan Yang Dipertua PUM, Dato' Dr Mahfodz Mohamed berkata, perjanjian yang dibuat pada 22 Mac 1975, di antara Petronas dan kerajaan Terengganu perlu dihormati oleh Kerajaan Pusat dan juga ke dua-dua pihak yang terlibat.

"Kerajaan Pusat sepatutnya tidak boleh mempengaruhi Petronas supaya menghentikan sebarang bayaran royalti kepada Kerajaan Terengganu, dan digantikan dengan wang ihsan yang akan disalurkan melalui JPP, yang dilihat sebagai entiti tidak sah.

"Seksyen 4, Akta Kemajuan Petroleum 1974, sudah jelas menunjukkan bahawa Petronas mempunyai hak untuk memajukan petroleum, dengan syarat membuat perjanjian dengan negeri-negeri yang terlibat yang mempunyai hasil petroleum," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Ujar Dr Mahfodz, sebarang pindaan perlembagaan di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi malah menurut pandangan sistem pemerintahan Islam, adalah tidak sah melainkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.

Oleh yang demikian, PUM berpandangan, adalah menjadi kewajipan bagi Petronas untuk membayar wang royalti kepada Kerajaan Terengganu berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama.

PUM juga menyeru Petronas supaya tidak mudah tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu yang mempunyai muslihat politik kepartaian yang sempit.

Kata beliau, PUM mengingatkan sebarang bentuk pelanggaran perjanjian adalah menunjukkan sifat kemunafikan yang nyata dilarang oleh agama.

"Sabda Nabi SAW: "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga : Apabila diberikan amanah mereka khianat, apabila berjanji mereka mungkiri dan apabila berbicara mereka berbohong."

Tambah beliau, Kerajaan Pusat juga diseru supaya bersikap lebih profesional dan telus di dalam menangani isu ini, dan tidak menyekat hak-hak pembiayaan wajib yang perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

"Kerajaan Pusat tidak boleh bersikap arbitiari di dalam hal ini memandangkan Kerajaan Terengganu telah dipilih secara sah oleh rakyat," katanya.

PUM juga menyeru kepada ahli politik dan elit yang berkuasa supaya menunjukkan sikap negarawan yang bertanggungjawab memikul amanah membina prasarana, agar berlaku adil kepada rakyat dan tidak menindas mana-mana individu mahu pun Kerajaan Negeri.

"PUM percaya dengan sikap tidak adil, bertanggungjawab, penyayang dan amanah akan menghasilkan perpaduan rakyat yang lebih teguh dan utuh," tambah beliau.


  Kembali ke Laman Utama