WEB BPPNT


Sumber : Bernama

Kerajaan PAS Terengganu sedia beri kerjasama kepada Pusat

KUALA TERENGGANU, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pas Terengganu hari ini memberi jaminan akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat bagi menjayakan program pembangunan di bawah peruntukan wang ihsan demi kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia, Mustaffa Ali berkata pihaknya menolak sebarang dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri enggan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat berhubung perkara itu.

"Kerjasama atas nama kepentingan rakyat, memang kita sentiasa terbuka dalam memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat ... cuma Pusat (Kerajaan) yang tidak memberi kerjasama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri tidak berminat bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam menjayakan projek-projek yang mempunyai kepentingan politik.

Ditanya lebih lenjut mengenai isu wang ihsan, Mustaffa yang juga anggota Parlimen Dungun mengakui kerajaan negeri masih tidak mengetahui kaedah penyaluran wang berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan meneliti terlebih dulu bentuk rancangan pembangunan yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan wang ihsan itu sebelum memutuskan bentuk kerjasama yang boleh diberikan.

"Jika kita nampak ia lebih kepada kepentingan politik, kita tak akan layan, yang akan dilayan (kerjasama) hanya yang bermatlamatkan kepentingan dan faedah rakyat," katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan negeri akan membayar dividen tahun ini kepada pelabur Amanah Saham Darul Iman (ASDI), beliau berkata kerajaan negeri perlu menelitinya terlebih dulu.

"Kita kena teliti dan kaji perkara itu... tetapi sekarang saya tak boleh beri jawapan ... kita akan rujuk kepada pihak berkenaan," katanya.


  Kembali ke Laman Utama