WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Tun Salleh gagalkan cubaan cetuskan kekeliruan

BAYAN BARU, 16 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa cubaan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohammad untuk mencetuskan kekeliruan terhadap isu royalti minyak akhirnya memakan diri beliau sendiri apabila orang penting semasa perjanjian itu dibuat, Tun Saleh Abbas bangun menerangkan keadaan sebenar.

Ketika berceramah di Sungai Nibung baru-baru ini beliau berkata, Tun Saleh Abbas menyuarakan isu berkenaan supaya rakyat tidak terkeliru antara `royalti' dan 'ehsan' sepertimana yang dimahukan oleh Perdana Menteri.

"Pelik sungguh kenyataan Perdana Menteri mengenai isu royalti minyak kerana nampak sangat sikap ingin balas dendam kepada kerajaan yang lain daripada Barisan Nasional (BN)," ujarnya.

Kerajaan tahu tambahnya, kenyataan balas Tun Saleh Abbas baru-baru ini cukup melukakan Perdana Menteri kerana rakyat dapat menilai sendiri siapakah yang memandai-mandai dalam isu pemberian wang royalti sebanyak lima peratus daripada Petronas semenjak zaman Menteri Besar Wan Moktar Wan Ahmad lagi.

Apa salah katanya, kerajaan Pusat tidak campurtangan dalam perjanjian tersebut kerana ianya tidak melibatkan satu ayat pun mengatakan kerajaan Pusat boleh berbuat demikian sekiranya Terengganu jatuh ke tangan pembangkang.

"Semenjak isu ini diterangkan kembali oleh individu yang terlibat secara langsung dalam perjanjian itu, Perdana Menteri nampak gelisah kerana rakyat sekarang tidak lagi macam dulu yang bertindak membabi buta bila kerajaan mengeluarkan arahan, " terangnya di hadapan ribuan hadirin.

Lebih-lebih lagi sambung beliau yang juga Timbalan Presiden PAS Pusat, wang ehsan akan disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) untuk menentukan sebarang peruntukkan menepati sasaran.

Ujarnya, sedangkan semua rakyat tahu JKKK yang dilantik oleh BN kebanyakkannya mengambil kesempatan dalam sesuatu projek.

"Kita cukup musykil kenapa kerajaan Pusat tidak berfikiran waras kerana sanggup menyerahkan wang peruntukkan yang begitu banyak kepada JKKK yang ramai antaranya tidak bijak dalam pentadbiran dan pengurusan," tegas beliau.

Berucap sama dalam majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Hamdan Abdul Rahman manakala yang hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Setiausaha Perhubungan, Jamil Hasan, Yang Di Pertua PAS Bayan Baru, Haji Idris Abdul Rahman, Pengerusi KeADILan Negeri, Dr. Mansor Othman dan Adun Batu Lanchang, Danny Low.


  Kembali ke Laman Utama