WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Penjelasan Tun Salleh Abbas

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) - Berikutan dari berita kenyataan Tun Salleh Abbas bahawa kerajaan negeri Sarawak dan Sabah hampir-hampir keluar Malaysia berikutan krisis hak ke atas Petroleum pada awal 1970an, berlaku sedikit kekeliruan di kalangan pembaca.

Selain dari Harakahdaily, Harakah edisi cetak juga telah menyiarkan berita tersebut.
(Berita kenyataan Tun Salleh Abbas)
Berikut adalah penjelasan penuh Tun Salleh mengenainya:-
Penjelasan Tun Salleh Abbas

1)Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung dengan kenyataan saya yang tersiar di Harakah edisi cetak pada 1 - 15 Oktober 2000 muka surat 2 Fikrah, suka saya membuat sedikit penjelasan seperti berikut.

2)Tidak pernah mana-mana pemimpin Sarawak sama ada dengan perkataan atau kelakuan menzahirkan hasrat untuk menarik diri dari Malaysia, cuma yang mereka bantah ialah langkah kerajaan pusat melalui Kementerian Perusahaan Utama menubuhkan badan berkanun bernama HIKMA. Bantahan mereka begitu sekali serius sehingga kerajaan Pusat hendak disaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana cadangan menubuh HIKMA ini.
Oleh itu dua orang tokoh yang terkemuka di Kuala Lumpur amat bimbang dan risau sekiranya isu minyak ini berpanjangan, ia boleh menjelaskan kestabilan perhubungan politik antara kerajaan Pusat dengan kerajaan Sarawak.

3)Mengenai pertikaian di antara Sabah dengan Kuala Lumpur sebabnya bukan atas isu minyak tetapi atas suatu faktor lain yang tidak relevan dengan isu minyak dan tidak patut disebutkan di sini. Walau bagaimanapun dua orang tokoh tadi bimbang ada kemungkinan Sabah akan bersama dengan Sarawak dalam isu minyak ini sekiranya isu ini tidak diselesaikan segera.

4) Dengan sebab itulah penyelesaiannya ditubuhkan Petronas di bawah Akta Syarikat dan dilindungi oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menjadi dasar Petroleum Negara.

Tun Salleh Abbas
Exco Kerajaan Terengganu.