WEB BPPNT


Sumber : Harakah Daily

Seminar Wanita dan Perundangan:
Wanita bukan Islam antara 300 peserta seminar

Oleh Khairul Azlan Mohmad

Marang, 10 Okt (Hrkh) - Jawatankuasa Induk Wanita Negeri Terengganu (Mawaddah) berjaya menamatkan pusingan pertama Seminar Wanita dan Perundangan, peringkat daerah yang berakhir di Marang dan Hulu Terengganu, semalam.

Seminar tersebut mendapat sambutan menggalakan dari kalangan wanita Islam dan bukan Islam.

Harakah difahamkan, objektif seminar tersebut bagi memberi pendedahan kepada para peserta tentang undang-undang dan Akta yang berkaitan dengan keluarga dan kehidupan wanita.

Selain itu, bagi membantu kaum wanita dalam memahami hak-hak mereka dalam perundangan dan melahirkan anggota masyarakat yang harmorni serta menjalani kehidupan selaras dengan kehendak syara' dan Undang-undang.

Sebanyak empat buah kertas kerja disediakan oleh pihak penganjur yang bertajuk 'Hak-hak Wanita dalam Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam Negeri Terengganu Sebelum dan Semasa Perkahwinan.'

Kedua, Hak-hak Wanita Dalam Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam Negeri Terengganu Selepas Bercerai.

Ketiga, Keganasan Rumahtangga dan Penderaan, Apakah Hak Wanita? Dan keempat peranan Polis DiRaja Malaysia dalam melindungi kaum wanita di Malaysia.

Seminar tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Kaum Negeri, Ustaz Awang Dagang Jusoh.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Encik Haji Hashim Mamat dan Pengerusi Mawaddah, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.


  Kembali ke Laman Utama