WEB BPPNT


Sumber : UM

Wan Mokhtar disebut-sebut bakal duta ke Arab Saudi

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad disebut-sebut akan dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi. Menurut sumber, pelantikan itu dibuat ekoran pertukaran duta-duta Malaysia di luar negara yang akan berlaku tidak lama lagi.

''Mungkin pelantikannya akan mengeratkan lagi hubungan antara negara ini dan kerajaan Arab Saudi,'' kata sumber itu.

Seorang lagi pemimpin dari Terengganu iaitu bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Abu Bakar Daud, pula dikatakan akan dilantik sebagai Duta ke Mesir.

Utusan difahamkan kedua-dua nama tersebut telah dicalonkan oleh kerajaan sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Desas-desus tersebut telah mula menjadi bualan ramai terutama di kalangan rakyat Terengganu.

Bagaimanapun jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi enggan mengulas tentang desas-desus pelantikan tersebut.


  Kembali ke Laman Utama