WEB BPPNT


Sumber : Warta 9

Kaji naik sewa PETRONAS

Kuala Terengganu : Kerajaan negeri mungkin menaikkan harga sewaan atau pajakan tanah yang dibuat dengan PETRONAS memandangkan Kerajaan Pusat mencabuli perjanjian royalti petroleum antara syarikat itu dengan Kerajaan Negeri baru-baru ini. "Kerajaan bagaimanapun belum menimbangkan untuk menaikkan kadar sewaan berkenaan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Sumber Manusia, Haji Mustafa Ali.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta di Majlis Dialog bersama wakil-wakil rakyat, pemimpin masyarakat, pemimpin parti dan pegawai kerajaan di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Kekurangan

Haji Mustafa berkata, pihak PETRONAS perlu memahami jika apa-apa bayaran yang mungkin melebihi dari biasa dituntut oleh Kerajaan, syarikat itu tidak perlu merasa terkilan.

Ini kerana Kerajaan kekurangan hasil berikutan tindakan mencabul perjanjian itu, tegasnya.

"Untuk tahun ini, kita tidak menghadapi apa-apa masalah untuk membiayai projek pembangunan tetapi mungkin tahun depan Kerajaan mengalami sedikit masalah kewangan," jelasnya.

Katanya, awal tahun ini Kerajaan telah menerima kira-kira RM432 juta, sebahagian wang royalti yang dijangkakan mencecah RM1 billion jika dibayar sepenuhnya dan ia dibelanjakan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan, perbelanjaan mengurus dan projek pembangunan.

Walaupun wang royalti itu tidak akan dibayar kepada Kerajaan Terengganu tahun hadapan, Kerajaan masih mampu membayar gaji kakitangan kerajaan dan perbelanjaan mengurus lain.

Bagaimanapun, kemungkinan Kerajaan akan menghadapi sedikit masalah untuk meneruskan projek-projek pembangunan yang dirancangkan.

Oleh itu Kerajaan akan berusaha mencari jalan untuk mendapatkan wang bagi menampung kekurangan itu, antara lain mungkin dengan menaikkan sewa berkenaan.

Majlis itu yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeir Terengganu (UPKNT) turut dihadiri oleh Exco-exco yang lain.


  Kembali ke Laman Utama